Harian Metro

Tegah rawatan terapi ozon

- Noor Atiqah Sulaiman am@hmetro.com.my

„ Kementeria­n kesihatan arah semua mesin di pasaran ditarik balik menjelang 1 Julai

Rawatan terapi ozon di semua pusat kecantikan dan klinik diharamkan kerana ia boleh menyebabka­n komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa maut.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramania­m berkata, semua pembuat, pengimport atau pihak yang meletakkan mesin berkenaan di pasaran supaya menarik balik pengedaran dan penggunaan­nya di pasaran selewat-lewatnya pada 1 Julai ini.

Beliau berkata, kegagalan untuk mematuhi ketetapan ini boleh menyebabka­n mereka dikenakan tindakan undang-undang dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM200,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.

“Sebaliknya, rawatan itu hanya membahayak­an nyawa pengguna, malah segala kelengkapa­n seperti mesin yang digunakan semasa rawatan itu juga tidak didaftarka­n dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan,” katanya pada sidang media di kementeria­nnya, semalam.

Dr Subramania­m berkata, ia juga mendedahka­n pengguna kepada risiko pendarahan daripada penggunaan heparin (ubat cair darah), embolism (penyekatan salur darah oleh gelembung udara), jangkitan kuman akibat peralatan yang tidak disteril dan kehilangan upaya yang kekal berpunca daripada kegagalan organ seperti buah pinggang.

“Dakwaan rawatan terapi ozon boleh melambatka­n penuaan, meningkatk­an tenaga dan memutihkan kulit adalah tidak benar.

“Ia hanya memberi mudarat kepada mereka yang menerima rawatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terapi itu juga menggunaka­n jarum bagi membuat beberapa suntikan dan perkara itu hanya boleh dilakukan oleh doktor atau pengamal perubatan yang terlatih dalam bidang itu.

“Dari pelbagai sudut, banyak kesalahan yang dilakukan pihak terbabit. Seperti yang sudah disebut mesin itu perlu didaftarka­n, penggunaan ubat itu tertakluk kepada Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkkua­sakan oleh Bahagian Penguatkua­saan Farmasi (BPF).

“Bagi kemudahan jagaan kesihatan swasta yang berlesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmat­an Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menyediaka­n terapi berkenaan, tindakan perundanga­n boleh diambil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia