Harian Metro

Isteri buntu ambil alih tanggungja­wab suami terlantar

-

Sik: Seorang isteri tabah menjaga suami yang terlantar lumpuh sejak empat bulan lalu selepas diserang angin ahmar dan terpaksa mengambil alih tanggungja­wab sebagai ketua keluarga.

Hazila Che Mat, 28, dari Kampung Selamat D, Mukim Teloi, berkata, suaminya Sabarudin Said, 38, kini tidak mampu menguruska­n diri dan terlantar di atas katil selepas menjalani pembedahan otak awal tahun ini.

Menurutnya, dia kini tertekan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Saya menggalas tanggungja­wab menjaga suami dan mengurus persekolah­an anak.

“Saya tidak dapat keluar bekerja mencari rezeki kerana terpaksa mengurus suami yang memerlukan penjagaan rapi, malah keseluruha­n anggota badannya lumpuh,” katanya di rumahnya, semalam.

Hazila berkata, dua anaknya iaitu Nor Syafiqah Hasanah, 6, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Tua manakala Syafik Amsyar baru berusia dua tahun.

Katanya, suaminya mula sakit awal tahun ini apabila terjatuh dalam rumah ketika hendak keluar bekerja sebagai pemandu van di Pekan Batu Lima, Sik.

“Selepas itu, saya membawanya ke Hospital Sik (HS) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan menjalani pembedahan otak.

“Suami dirawat selama 20 hari di hospital itu dan anggota badannya tidak mampu bergerak dan hanya minum susu menggunaka­n saluran tiub,” katanya.

Menurutnya, keadaan hidup mereka makin terhimpit kerana tidak mempunyai pendapatan tetap termasuk untuk membeli ubat dan keperluan suami.

“Saya berjimat membeli barangan keperluan harian, selain susu anak. Suami pula terpaksa dijaga sepenuh masa kerana dia memerlukan susu setiap tiga jam sekali, selain mengurus dirinya termasuk menukar lampin pakai buang,” katanya.

Hazila berkata, dia bersyukur Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) tampil membantu menyediaka­n katil dan tilam serta lampin pakai buang.

Orang ramai yang ingin menghulurk­an bantuan boleh menyalurka­n sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Hazila Che Mat 02115-41-00011286-2.

 ??  ?? HAZILA dan dua anak menjaga Sabarudin yang terlantar sakit.
HAZILA dan dua anak menjaga Sabarudin yang terlantar sakit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia