Harian Metro

Saksi gelagat Monyet hidung panjang

- Rodly Fadly rencana@hmetro.com.my

Keistimewa­an di Labuk Bay Proboscis

Monkey Sanctuary menjadi

tarikan pelancong

Kurang lengkap rasanya kunjungan ke Sandakan, Sabah jika tidak ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary (LBPMS). Pusat pemulihara­an monyet Belanda itu adalah antara destinasi ‘mesti kunjung’ kepada pelancong yang bercuti di daerah berkenaan.

Menariknya di sini anda dapat melihat monyet proboscis atau dikenali sebagai monyet Belanda, spesies mempunyai keunikan tersendiri iaitu memiliki hidung panjang berbanding monyet biasa.

Apatah lagi monyet Belanda agak eksklusif kerana hanya terdapat di Kepulauan Borneo dan semakin pupus. Ini antara punca mengapa LBPMS menjadi destinasi pilihan pelancong.

Kunjungan ke LBPMS membolehka­n anda melihat dan merakamkan gambar monyet Belanda secara lebih dekat terutama apabila tiba waktu diberi makan apabila ia akan berkumpul di atas pelantar yang disediakan.

Ketika itu anda boleh melihat pelbagai peringkat usia monyet berkenaan, dari yang dewasa, anak malah bayi yang dikendong ibunya. Mereka memperagak­an pelbagai ragam yang mencuit hati pengunjung seperti berebut makanan, bergurau senda, berlari, bergayut atau menyejukka­n badan di dalam kolam.

Penulis turut tidak melepaskan peluang untuk menjejakka­n kaki ke pusat pemulihara­an itu apabila ke Sandakan, baru-baru ini.

Malah, kunjungan kali ini membuatkan penulis lebih memahami kehidupan monyet berkenaan melalui penerangan yang diberikan petugas di pusat pemulihara­an berkenaan, Muhd Jhonathan Escobido Abdullah.

Muhd Jhonathan yang berpengala­man kira-kira 10 tahun mengendali­kan pusat berkenaan menjelaska­n terdapat kira-kira 170 monyet Belanda di hutan simpan berkenaan.

Menurut Muhd Jhonathan, kumpulan monyet itu hanya akan keluar ke platform yang disediakan apabila hampir waktu makan dan selepas menikmati makanan, mereka akan kembali ke hutan.

“Di sini kami mewujudkan dua platform iaitu A dan B sebagai tempat haiwan itu diberi makan. Waktu makan bagi Platform A adalah jam 9:30 pagi dan jam 2:30 petang sementara Platform B pada jam 11:30 pagi dan jam 4:30 petang.

“Sebab itu pihak kami menggalakk­an pengunjung masuk ke sini mengikut waktu makan yang ditetapkan kerana hanya pada waktu itu mereka dapat melihat banyak monyet kerana pada waktu biasa haiwan itu lebih selesa tinggal dalam hutan,” katanya.

Di setiap platform, monyet ini mempunyai kumpulan sendiri kerana ia tidak akan menceroboh ke platform kumpulan lain. Contohnya, di Platform A terdapat dua kumpulan keluarga dan satu kumpulan bujang sementara di Platform B pula dikuasai empat keluarga dan satu kumpulan bujang.

“Haiwan ini hanya hidup dalam kalangan keluarga masing-masing dan tidak bercampur dengan keluarga lain meskipun tinggal dalam kawasan yang sama,” katanya.

Pada masa sama kewujudan LBPMS bukan sekadar untuk tujuan pelanconga­n sebaliknya lebih kepada usaha pemulihara­an bagi memastikan monyet Belanda terus menghuni hutan negeri Sabah khususnya di Labuk Bay.

Sementara itu pasangan pelancong dari Switzerlan­d, Roger Rindlisbac­her dan isterinya, Sabine ternyata sangat teruja dapat melihat monyet Belanda secara dekat.

“Seperti kita ketahui monyet proboscis hanya terdapat di sekitar Borneo dan semakin pupus.

Jadi, bila sudah berada di Sandakan, kami tidak mahu melepaskan peluang untuk melihatnya secara dekat.

“Monyet di sini dibiarkan hidup bebas berbanding kunjungan kami di tempat lain apabila haiwan diperlakuk­an seperti bahan pameran apabila dikurung dalam kandang atau sangkar,” ujar Roger yang turut mengunjung­i pusat pemulihara­an orang utan dan beruang madu di Sipilok.

LBPMS yang terletak 38 kilometer dari bandar Sandakan yang mengambil masa kira-kira 30 minit memandu, dibuka setiap hari daripada jam 8 pagi hingga jam 6 petang.

 ??  ?? MONYET Belanda menjadi daya tarikan di Labuk Bay.
MONYET Belanda menjadi daya tarikan di Labuk Bay.
 ??  ?? PENGUNJUNG dapat melihat monyet berhidung panjang dari jarak dekat.
PENGUNJUNG dapat melihat monyet berhidung panjang dari jarak dekat.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia