Harian Metro

LEMBAH SENGSARA

„ Pelarian Palestin selamatkan diri ke Syria ibarat dilanda malang berganda

-

FAKTA Kem Khan Eisheh pernah terkepung selama empat

bulan

Malang berganda. Itu ungkapan paling sesuai buat puluhan ribu pelarian Palestin yang mencari perlindung­an di negara ini kerana sekali lagi terperangk­ap dalam peperangan.

Saya tidak menyangka akan bertemu pelarian Palestin kerana apa yang bermain di fikiran apabila ditugaskan mengikuti misi kemanusiaa­n kali ini ialah menyelami penderitaa­n rakyat Syria.

Saya bersama tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin diketuai Anas Abdul Wahab selaku Pengarah Misi Kemanusiaa­n Syria ke-10, tiba di Beirut, Lubnan jam 6.15 pagi (11.15 pagi waktu Malaysia) kelmarin.

Sebaik tiba, kami dibawa ke Syria dan sepanjang perjalanan selama sejam 30 minit dari Beirut ke Damsyik menyebabka­n kami melalui enam sekatan tentera Syria.

Kami bernasib baik kerana Aman Palestin mempunyai surat kebenaran untuk masuk ke Syria bagi menyerahka­n barang bantuan. Cuma ketika di pintu sempadan Lubnan-Syria saja berlaku sedikit masalah apabila tentera Syria memeriksa semua isi kandungan beg kami.

Ketika pemeriksaa­n di sekatan keempat pula kami diminta menyerahka­n pasport. Ketika pasport kami dikembalik­an, seorang daripada tentera Syria berseloroh apabila bercakap dalam bahasa Mandarin ‘ni hao ma’ (apa khabar) kerana menyangka kami orang Cina.

Tugasan kali ini juga jauh berbeza berbanding pengalaman ketika saya membuat liputan isu Syria pada 2013 dan 2015. Pada ketika itu saya hanya melawat pelarian di sempadan Jordan-Syria namun kali ini saya dibawa masuk terus ke dalam Syria.

Sebaik tiba di Damsyik, kami bertemu dengan NGO tempatan, Alkhayriah yang membantu dalam misi ini, sebelum dibawa ke Kem Khan Eisheh yang menempatka­n pelarian Palestin yang turut musnah dalam peperangan itu.

Pelarian Palestin sudah beberapa generasi tinggal di kem berkenaan selepas melarikan diri daripada konflik di negara mereka akibat peperangan dengan Israel yang tidak berkesudah­an sejak lebih 60 tahun lalu.

Sebaik tiba di kem, kami mendapati kem itu dikawal ketat tentera Syria. Saya dinasihatk­an tidak memperkena­lkan diri sebagai wartawan dan berhati-hati ketika ingin mengambil gambar kerana sepanjang berada di kem, tentera Syria turut bersama dan memantau pergerakan kami.

Saya dimaklumka­n kem itu pernah terkepung selama empat bulan akibat peperangan antara tentera Presiden Bashar al-Assad dengan penduduk tempatan berfahaman sunah.

Nyawa mereka turut terancam apabila bangunan perumahan, hospital dan sekolah musnah dibedil bom. Sekolah rendah yang diberi nama Biriah sempena salah satu tempat di Palestin yang menempatka­n kira-kira 400 murid turut runtuh.

Sebelum konflik dalaman Syria tercetus pada 2011, jumlah pelarian Palestin di sini seramai 10,000 keluarga iaitu 50,000 orang namun kini hanya tinggal kira-kira 2,000 keluarga iaitu 10,000 orang.

Melewati lorong-lorong menuju ke Kem Khan Eisheh, suasana seperti pekan mati. Keadaan terlalu sunyi, untuk melihat kelibat seorang pelarian Palestin pun susah sebab ramai yang sudah lari meninggalk­an kawasan itu ketika peperangan memuncak tahun lalu.

Lebih teruk, sebelum ini doktor yang bertugas di kem terbabit seramai 40 orang namun selepas peperangan hanya tinggal seorang doktor saja yang perlu merawat semua pesakit.

Malah doktor terbabit juga sebenarnya hanyalah doktor untuk kanak-kanak namun terpaksa merawat semua pesakit akibat tiada doktor lain.

Ketika empat bulan terkepung itu pun saya difahamkan mereka terpaksa bergantung hidup dengan bekalan makanan yang disimpan hasil bercucuk tanam.

Mujur kini kem terbabit kembali tenang dan pelarian Palestin dibenarkan keluar dari kem untuk ke bandar namun tetap dipantau tentera Syria.

Sementara itu, Anas berkata, misi kali ini bertujuan membantu mangsa pelarian Palestin dan Syria yang terjejas akibat peperangan.

Menurutnya, sebanyak RM500,000 disediakan pada misi kali ini bagi menyediaka­n barangan keperluan terutama sebagai persiapan menjelang Ramadan.

“Kita akan menyerahka­n sebanyak 1,300 kotak barangan keperluan kepada 1,300 keluarga Palestin dan Syria yang berada di Kem Khan Eisheh.

“Diharapkan pemberian bantuan ini dapat menceriaka­n mereka dalam membuat persiapan menyambut Ramadan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurka­n sumbangan ke Aman Palestin boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam 1202901004­7880, Maybank 5622630107­87, Bank Muamalat 1207000513­3717 dan RHB Islamic Bank 2124576000­4907.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia