Harian Metro

Menghargai ibu sepanjang zaman

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM

Sesungguhn­ya, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa ketika mengandung dan melahirkan anak ke dunia. Saat anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoi, mengajar bertatih dan sebagainya. Apabila anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanak­an peranannya menjadi pendidik, tempat anak bermanja dan mengadu nasib, penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa. Untuk itu sebagai anak, kita bertanggun­gjawab merai dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu perlu dimuliakan sebagaiman­a Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandung­nya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraika­n susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurl­ah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada

Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratny­a pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahka­n supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan­mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘ah’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: “Saya ingin melaksanak­an jihad dan ikut pergi berperang di jalan

Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian. Rasulullah SAW kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaik­an kebenaran bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.”

Begitu juga cerita seorang lelaki bertemu dengan Rasulullah SAW dan lelaki itu menyoal, “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu? dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘ibumu’. Akhirnya apabila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘bapamu’. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurk­an agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya perlu diberikan penghargaa­n lebih tinggi berbanding insan lain di dunia ini.

Secara rasminya Hari Ibu disambut di Malaysia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun, sebagai tanda penghargaa­n kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanak­an oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh itu. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa semampunya. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanak­an aktiviti seperti menghadiah­kan jambangan bunga atau mengucapka­n rasa sayang, tetapi perlu diserlahka­n melalui amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosi. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentang­an dengan syariat Islam. Sebagai anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatk­an Islam dan norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyaka­n khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetuj­ui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang mencecah usia ‘emas’ itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya. Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruska­n kehidupan semua anaknya, takkanlah anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormat­an dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuska­n di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahter­aan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat 24, maksudnya: “Dan

hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaiman­a mereka mencurahka­n kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbana­nnya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangan­nya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan ‘chemistry’ yang terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjung­i dan menyayangi mereka.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang: ‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’. Jelaslah bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhn­ya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan seorang insan yang bernama ibu.

Sememangny­a syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia