Harian Metro

‘Beri kami peluang...’

- Faliq Lajim am@hmetro.com.my

„ Peniaga Flat Bayu Perdana menangis kedai dirobohkan pihak berkuasa tempatan

“Kami mohon belas ihsan untuk dibenarkan berniaga di sini kerana kami tidak mampu menyewa kedai,” kata Muhammad Zaiful Ahmad Daud, 22, yang berniaga makanan di Flat Bayu Perdana dekat sini.

Kelmarin, binaan tambahan di luar rumahnya bersama puluhan peniaga dan pemilik rumah lain dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keadaan itu menyebabka­n peniaga serta pemilik rumah di kawasan itu buntu serta bimbang nasib mereka.

Muhammad Zaiful yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihata­n berkata, dia terkilan kerana gerai yang dibina beberapa tahun lalu dan menjadi sumber pendapatan­nya sekeluarga dirobohkan.

“Saya dan ibu yang juga ibu tunggal berniaga makanan secara kecil-kecilan di depan rumah bagi menampung perbelanja­an keluarga termasuk tiga adik yang masih bersekolah.

“Bukan saya tak mahu mencari pekerjaan lain namun masalah penglihata­n menyukarka­n saya untuk bekerja walaupun saya adalah pemegang diploma perniagaan daripada sebuah kolej swasta,” katanya sebak.

Menurutnya, dia tidak mampu menyewa kedai berikutan kadar sewa tinggi selain lokasinya jauh.

“Sepanjang berniaga kecil-kecilan di sini, saya mampu memperoleh RM100 hingga RM150 sehari dan jika menyewa kedai, sudah tentu kadar sewanya tinggi.

“Saya berharap pihak berkuasa menyediaka­n tempat untuk kami berniaga tanpa sebarang masalah seperti mana semalam (kelmarin),” katanya.

Peniaga, Halija Lamasa, 41, berkata, dia menerima notis kelmarin dan diminta membuka struktur kedainya dengan segera.

“Saya sudah berniaga lebih 10 tahun di sini dan ini kali pertama tindakan ini diambil.

“Kami berharap pihak berkenaan memberi peluang kepada kami untuk berniaga kerana ini punca rezeki kami,” katanya.

Ahli Jawatankua­sa Flat Bayu Perdana Salju Tapong, 70, berkata, tindakan itu bukan saja merugikan penduduk dan peniaga tetapi menyukarka­n mereka untuk membeli barangan keperluan serta makanan.

“Jika semua peniaga di sini dikenakan tindakan, di mana kami mahu membeli barang.

“Kedai yang terdekat terletak di seberang jalan utama dan jika kanak-kanak pergi ke kedai itu, ia membahayak­an nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandara­n Klang (MPK) menyatakan 23 unit binaan tambahan dirobohkan pada operasi kelmarin.

Tindakan penguatkua­saan itu pula diambil mengikut Akta Parit, Jalan dan Bangunan (Akta 133).

Setiausaha MPK Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pembinaan struktur kedai tanpa kelulusan yang disambungk­an dengan rumah pemilik premis.

“Kami merobohkan binaan haram yang disambungk­an daripada rumah untuk dijadikan kedai.

“Kami juga mengambil tindakan terhadap pemilik binaan struktur tambahan di luar sempadan lot (di atas harta milik bersama),” katanya.

 ??  ?? MUHAMMAD Zaiful sebak melihat sisa kedai yang diroboh pihak berkuasa di Flat Bayu Perdana.
MUHAMMAD Zaiful sebak melihat sisa kedai yang diroboh pihak berkuasa di Flat Bayu Perdana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia