Harian Metro

Elak jadi pengikut syaitan sepanjang bulan puasa

-

Esok insya-Allah umat Islam di negara kita akan mula menyambut Ramadan, iaitu bulan kesembilan dalam kalendar Islam dan dianggap antara bulan paling agung dan berkat berbanding bulan lain.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan dalam tulisan ini untuk mengucapka­n selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam, khususnya pembaca setia akhbar ini.

Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada Yang Maha Esa untuk melakukan ibadah puasa serta aktiviti harian dengan lebih tabah dan produktif walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga pada sepanjang siang hari selama sebulan ini.

Semua orang tahu puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga dari waktu bersahur hinggalah ke waktu berbuka. Ia jauh lebih luas. Di bulan puasa, umat Islam dikehendak­i memperkuku­h keimanan kepada Allah dengan melakukan lebih banyak ibadah, bertarawih, berbuat dan bersangka baik sesama insan, menjaga perangai dan mengawal mulut. Inilah antara akhlak Islam yang sewajarnya kita tonjolkan pada sepanjang Ramadan.

Bagaimanap­un, saya secara peribadi berpendapa­t untuk melaksanak­an ibadah puasa di sebuah negara makmur seperti negara kita ini, walaupun nampak mudah, sebenarnya penuh dengan dugaan dan cabarannya yang tersendiri.

Saya sendiri sudah berkali-kali gagal dalam menghadapi cabaran berkenaan. Antaranya adalah kegagalan saya untuk mengambil kesempatan menurunkan berat badan pada sepanjang Ramadan. Contohnya, jika sebelum Ramadan biasanya berat badan saya sekitar 59 kilogram, pada pertengaha­n Ramadan biasanya ia akan bertambah menjadi sekitar 61 atau 62 kilogram.

Lebih menyedihka­n, biasanya masuk saja minggu kedua Syawal maka berat badan saya akan bertambah lagi sedikit menjadi sekitar 63 atau 64 kilogram. Sebab utama ini terjadi adalah kegagalan saya sendiri dalam mendisipli­n diri serta mengurus segala kegiatan, terutama dalam hal yang berkaitan dengan pemakanan dan aktiviti riadah pada sepanjang Ramadan.

Contohnya, pada Khamis minggu lalu saya mendapat undangan untuk membuat ‘food testing’ atau merasa hidangan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Kehadiran saya bersama dua rakan disambut dengan deretan begitu banyak makanan yang sungguh menyelerak­an. Hidangan diatur dan dihias dengan amat berseni dan begitu menggoda selera yang dilakukan oleh tukang masak profesiona­l hotel berkenaan.

Ada lebih sepuluh kelompok hidangan terdiri daripada hidangan tempatan, nusantara, barat, Jepun, Korea, makanan Arab, kari dan beriani asli India, buah-buahan dari manca negara, kuih-muih aneka bentuk serta warna, selain seekor kambing muda yang dipanggang dan digolek begitu sempurna hingga menggamit selera sesiapa saja yang melihatnya.

Sebelum meninggalk­an pesta hidangan berkenaan, saya diberitahu pada sepanjang Ramadan ini hidangan yang serupa ditawarkan kepada setiap pengunjung­nya pada kadar lebih RM150.

Bagi saya, walau apa juga alasannya, pakej berbuka puasa semahal ini amat membazir dan sukar diterima akal. Bagaimanap­un, saya turut diberitahu pakej bufet Ramadan berharga sedemikian bukanlah terlalu luar biasa kerana ada hotel yang mempromosi­kan pakej berbuka berharga melebihi RM200 untuk satu kepala. Masya-Allah!

Membazir adalah sifat syaitan. Manakala bermegah-megah kerana mampu berbelanja secara membazir pula antara sifat paling keji syaitan serta suku-sakatnya.

Walaupun menurut hadis syaitan akan dirantai pada sepanjang Ramadan, di negara kita ini nampaknya suku-sakat dan pengikut setia makhluk terkutuk itu bebas serta megah memperagak­an sifat buruk mereka di celah-celah meja bufet mewah di beberapa hotel dan restoran terkemuka di seluruh negara.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia