Harian Metro

Ada yang sudah mula puasa semalam

-

Makassar: Walaupun kerajaan Indonesia menetapkan tarikh mula puasa bagi umat Islam di negara itu akan bermula esok, namun, kumpulan jemaah An-Nadzir yang aktif di beberapa kampung di Sulawesi Selatan sudahpun berpuasa semalam (Khamis) selepas kata sepakat dicapai antara pemimpin mereka bahawa 1 Ramadan akan bermula hari ini (Jumaat).

Menurut pemimpin kanan kumpulan itu yang digelar ulama oleh pengikutny­a, Lukman A Bakti, puasa yang dilakukan semalam ialah sebagai menyambut Ramadan.

Lukman berkata, penetapan 1 Ramadan itu dibuat setelah melihat fenomena alam, seperti bulan purnama.

“Kami sepakat bahawa peralihan bulan dari Syaaban ke Ramadan ialah pada Khamis pagi. Untuk menyambut kedatangan Ramadan, kami berpuasa hari ini (semalam),” kata Lukman kepada akhbar Tempo. .

Pengikut Jemaan An-Nadzir berjumlah kira-kira 1,000 orang dan mereka tertumpu di Kampung Mawang di daerah Gowa, Sulawesi Selatan.

Menurut Lukman, selain menentukan kedatangan menerusi fenomena alam, jemaah itu juga menentukan kemunculan bulan baru menerusi hisab dan rukyah.

Sementara itu, pengikut Muhammadiy­ah, pergerakan Islam kedua terbesar dan Nahdlatul Ulama, kumpulan Islam pertama terbesar di Indonesia, akan mula berpuasa esok.

Pengikut kedua-dua kumpulan berkenaan sebelum ini biasanya tidak puasa atau menyambut Aidilfitri pada hari yang sama kerana masing-masing mempunyai pengiraan mereka tersendiri. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia