Harian Metro

Dedikasi kepada mangsa bom

- AFP

 Pogba tuju kemenangan United buat 22 orang korban serangan pengganas di Arena Manchester

Stockholm

Paul Pogba mendedikas­ikan kemenangan kepada mangsa serangan pengganas di Manchester minggu ini selepas membantu Manchester United menang 2-0 ke atas Ajax pada final Liga Europa, awal pagi semalam.

Malam itu bermula dengan bertafakur selama seminit kemudian tepukan dalam kenangan terhadap 22 yang terkorban di Arena Manchester, Isnin lalu dan berakhir dengan United melengkapk­an koleksi trofi mereka menerusi gol Pogba (minit ke-18) dan Henrikh Mkhitaryan (m-58).

“Kami bermain untuk mereka yang terkorban,” kata Pogba.

“Perkara ini amat dahsyat di seluruh dunia, di London dan di Paris. Kami keluar fokus untuk menang dan kami menang untuk Manchester dan negara.”

Peringatan terhadap serangan itu di mana-mana di Arena Friends, Stockholm, daripada lilitan lengan hitam United hingga ke sorakan “Manchester!’ daripada peminat mereka manakala Pogba sendiri bersedih dengan kematian bapanya baru-baru ini.

Pengurus United Jose Mourinho memberitah­u wartawan: “Jika boleh, tentu sekali kami mahu menukar nyawa manusia dengan piala ini, serta-merta.

“Kami tidak berfikir panjang. Adakah piala ini akan menggembir­akan bandaraya Manchester? Mungkin. Tapi kami hadir untuk melaksanak­an tugas kami.”

Kemenangan membolehka­n Mourinho, yang berkata sebelum perlawanan beliau dan pemainnya sukar melupakan tragedi itu, menutup musim sulungnya di Old Trafford dengan kejayaan.

Beliau mengemudi United menjuarai Piala Liga dan di sebalik berakhir di tangga keenam Liga Perdana, kejayaan dalam Liga Europa bermakna pasukannya akan kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

United juga muncul kelab kelima - selepas Juventus, Ajax, Bayern Munich dan Chelsea – memenangi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala Pemenang Piala yang sudah dimansuhka­n.

Mourinho, pemenang Piala UEFA bersama FC Porto pada 2003 dan juara Eropah dua kali, kini menang semua empat final pertanding­an utama Eropah yang disertainy­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia