Fauzi puas hati aksi Safuwan
Melaka: Persembahan meyakinkan kapten Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Safuwan Baharudin melegakan jurulatihnya Mohd Fauzi Pilus selepas pemain itu menjana kemenangan 4-1 ke atas PKNP FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, kelmarin.
Mohd Fauzi berkata, walaupun masih dibelenggu kecederaan, persembahan Safuwan tetap membanggakan dan dia meledak dua gol untuk membantu PDRM mengejutkan PKNP.
Katanya, pemain import dari Singapura itu juga sudah kembali cemerlang selepas kurang menjadi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Saya lihat dia kini mula memperoleh rentak dan kami mengharapkan dia mampu mengulangi aksi sama dalam saingan liga selepas Aidilfitri kelak.
“Dia juga memperlihatkan daya kepimpinan dan komitmen tinggi untuk menyerlah sekali gus melegakan kami apatah lagi prestasi pasukan kurang menyerlah pada pusingan pertama liga,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, kejayaan ke atas PKNP didorong semangat juang tinggi anak buahnya yang tidak hilang fokus walaupun pelawat terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan dan PDRM membalas menerusi Safuwan, Dao Bakary dan Shammar Fadzil.
Katanya, jika gerakan sedemikian mampu diulangi pada baki liga selepas ini, kedudukan mereka pasti lebih baik serta mencerahkan peluang mara ke Liga Super.
Menurutnya, apa yang penting The Cops perlu mengelak daripada tewas pada baki perlawanan selepas ini terutama apabila bermain di Stadium Hang Jebat.