‘TIADA HARI TAK RINDU’
Ramadan hilang ceria tanpa telatah Thaqif
“Tiada hari yang berlalu tanpa kami merindui telatah arwah, inikan pula menjelang Ramadan,” kata Ahmad Motai, 67, datuk bekas murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman, 26 April lalu.
Ahmad berkata, pada setiap kali Ramadan, arwah sekeluarga berbuka puasa bersama di rumahnya di FELDA Bukit Aping Timur, Kota Tinggi.
Menurutnya, arwah seorang yang ceria dan rapat dengan semua sepupu menyebabkan kehilangannya sangat dirasai.
“Setiap Khamis, keluarga arwah berkunjung ke sini untuk melawat saya mungkin disebabkan jarak rumah mereka yang dekat di Ulu Tiram.
“Keadaan itu menyebabkan arwah rapat dengan semua sepupu dan mereka sentiasa menantikan kehadirannya untuk melakukan pelbagai aktiviti,” katanya berkongsi perasaan mengenai ketiadaan arwah pada Ramadan kali ini.
Katanya, selain bermain di sekitar kampung, cucunya juga suka mandi di kolam renang di Mawai kerana tempatnya bersih dan selamat.
Menurutnya, arwah juga bukanlah kanak-kanak yang cerewet dan tidak kisah apa saja hidangan disajikan kepadanya.
Ahmad berkata, bagaimanapun sebagai datuk, dia tahu arwah gemar hidangan ayam masak merah air tangan isterinya, Misnah Bidik, 64, terutama sepanjang Ramadan atau menyambut Aidilfitri.
“Alhamdulillah, pada Selasa lalu, kedua-dua kaki arwah yang digali semula dikebumikan bersama jasadnya di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping ketika azan Zuhur.
“Saya ditemani ahli keluarga lain menyaksikan urusan yang dilakukan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan, doktor pakar Hospital Putrajaya, polis dan beberapa individu dipercayai wakil mahkamah.
“Kaki arwah dikafankan semula dan dikebumikan dalam liang lahat bersama tubuhnya.
“Sama seperti proses mengambil semula kaki itu, ia mengambil masa 30 minit, manakala papan yang menutup anggota badan lain tidak diangkat dan tidak menampakkan anggota tubuh lain,” katanya.
Menurutnya, keluarganya lega kerana segala urusan selesai dengan baik dan kini menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.
“Walaupun saya ada 22 cucu, setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing termasuk arwah.
“Kami reda dengan kejadian ini dan sedar Allah lebih menyayanginya, namun kami sentiasa merinduinya,” katanya.