HARI ISTIMEWA
33,864 peserta RISDA terima dividen RM106.81 juta Ini kali kelapan
saya terima dividen daripada
RISDA
Md Yasit
Duit ini akan digunakan untuk mengadakan kenduri tahlil arwah ayah
Zabedah
“Sebelum ini saya hanya menerima dividen daripada pihak (pejabat) RISDA daerah namun hari ini cukup istimewa kerana Perdana Menteri sendiri menyampaikannya kepada saya,” kata peserta RISDA, Zabedah Alias, 71.
Dia yang berasal dari Padang Tenggala, Temerloh berkata, pemberian dividen itu dianggap sebagai rezeki kepadanya untuk persiapan Aidilfitri akhir bulan ini.
Dia bersyukur serta berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan RISDA yang prihatin dengan keperluan peserta.
“Saya tidak boleh tidur semalam (kelmarin) kerana teruja untuk bertemu Perdana Menteri, ini kali pertama saya menerima sampul (cek) yang disampaikan beliau sendiri.
“Duit ini akan digunakan untuk mengadakan kenduri tahlil arwah ayah manakala selebihnya untuk persiapan menyambut lebaran,” katanya.
Dia ditemui dalam Majlis Penyampaian Dividen
RISDA yang disempurnakan Najib, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainal Abidin.
Bagi Md Yasit@Abdul Aziz Md Teh, 71, dividen itu boleh membantu mereka membeli barangan keperluan harian serta persiapan menyambut Aidilfitri.
“Ini kali kelapan saya terima dividen daripada RISDA dan boleh dikatakan ia banyak membantu kami dalam menyediakan keperluan harian.
“Kalau boleh, biarlah ia diteruskan, jika bagi dua kali setahun pun bagus juga, tapi terpulanglah kepada mereka untuk tentukan kaedah (pengagihan) itu,” katanya yang mengusahakan tiga hektar kebun getah di Kampung Sentosa, dekat Maran.
Najib mengumumkan 33,864 peserta menerima dividen keseluruhannya berjumlah RM106.81 juta tahun ini. Daripada jumlah itu, 16,080 adalah peserta
Rancangan Tanam
Baru Berkelompok
(RTBB) dan 17,784 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).
Jumlah itu meningkat berbanding RM95.59 juta tahun lalu.
Dalam ucapannya Najib berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengimbangi pembangunan di bandar dan luar bandar bagi memastikan semua rakyat menikmati manfaat sama.
Beliau berkata, pembangunan di Malaysia unik dan tidak berlaku di negara lain kerana ia dilaksanakan secara adil dan saksama di kedua-dua kawasan itu.
“Jika kita lihat negara lain, pembangunannya hanya tertumpu kepada kawasan ibu kota atau pusat pentadbiran, tetapi di Malaysia, kami sedaya upaya memastikan agenda pembangunan luar bandar diteruskan secara adil dan saksama.
“Jika tidak sama (sekata) pun, sekurang-kurangnya jurang antara kedua-dua kawasan dapat dikecilkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya menyediakan peruntukan RM358.8 juta tahun ini bagi program tanam semula serta pelbagai program lain bagi membantu pekebun kecil seluruh negara.
Peruntukan itu, sekali gus menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan kerajaan tidak mempunyai wang untuk menjalankan program itu.
“Mereka kata kerajaan tidak ada duit (muflis), ini tidak betul, kami buktikan melalui peruntukan daripada RISDA membabitkan pemerkasaan program tanam semula dan mempergiatkan aktiviti hiliran syarikat milikan mereka (RISDA).
“Jumlah peruntukan ini jelas membuktikan mereka berbohong dan tidak boleh dipercayai, kami mampu sediakan sejumlah peruntukan besar dan ia hasil kebijaksanaan pimpinan negara diketuai Najib,” katanya.