Annuar kesal pemain, bekas pegawai ungkit isu tunggakan gaji
Kuala Lumpur: Tan Sri Annuar Musa terus menyelar tindakan segelintir pemain dan bekas pegawai pasukan itu yang memanjangkan isu berkaitan tunggakan gaji kepada pihak atasan sebagai tidak memahami situasi dialami Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ketika ini.
Jelas Penasihat KAFA itu, pihaknya tidak pernah cuba untuk lari daripada menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan namun disebabkan masalah kewangan mereka terpaksa melewatkan pembayaran itu.
“Di sini sesetengah pemain tak faham dan mereka bawa ke atas seolah-olah KAFA tak mahu bayar. Mereka cuba dapatkan perintah (mahkamah).
“Mereka boleh bawa dan cuba dapatkan penghakiman seperti KAFA dikehendaki bayar sekian sekian dalam tempoh 14 hari dan sebagainya. “Isunya bukan KAFA tak nak bayar. Kalau ada perintah dari langit sekalipun, KAFA tak ada duit nak bayar.
“Pernah seorang pemain pergi ke mahkamah dan berjaya dapatkan perintah mahkamah dengan membekukan akaun KAFA. Apa dia dapat? Membekukan akaun yang tak ada duit tak menyelesaikan apa-apa.
“Hingga hari ini, pemain itu tak dapat duit melainkan selepas berunding elok-elok dan dapat bayaran secara ansuran,” katanya menerusi posting terbaru di akaun Facebook miliknya, semalam.
Kenyataan Annuar itu merujuk kepada keputusan terbaru dikeluarkan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan KAFA menyelesaikan tunggakan gaji tiga pemain dan seorang jurulatihnya berjumlah lebih RM190,000.