Tempoh tukar bateri
Saya menggunakan Proton Persona dengan kotak gear automatik selama lebih dua tahun. Bateri kereta masih elok tetapi ada yang menyarankan ditukar selepas dua tahun. Tapi kereta saya tidak selalu dipandu kerana meter belum mencecah ke angka 19,000 kilometer, jadi apakah yang perlu saya lakukan?
Damia Puchong, Selangor.
Bateri adalah komponen yang menyimpan bekalan elektrik dan sentiasa dicas semula apabila enjin hidup. Di antara tujuan utama, bateri membekalkan kuasa elektrik untuk menggerakkan motor penghidup (starter motor) bagi menghidupkan enjin. Bagi menjalankan tugas ini dengan baik dan kitaran enjin yang cukup laju, bateri haruslah membekalkan kuasa yang mencukupi.
Perkara itu penting bagi kereta dengan gear automatik kerana ia tidak mampu ditolak-hidup seperti kereta gear manual.
Sesetengah bateri mempunyai penunjuk kuasa walaupun bukan semua. Jika bateri tidak mempunyai penunjuk itu, ia hanya boleh diuji dengan alat multimeter. Dapatkan bantuan pekedai bateri untuk memeriksa bateri anda.
Besar kemungkinan anda menggunakan bateri tanpa-senggaraan. Walaupun tidak perlu penyelenggaraan seperti memeriksa tahap ‘air bateri’ atau elektrolitnya, ia mampu gagal sepenuhnya tanpa tanda tanda awal, tetapi kebiasaanya akan tahan selama dua tahun jika ia dicas semula dengan baik sewaktu anda memandu.
Dapatkan nasihat pekedai bateri dan tukar segera jika was was dengan bateri yang berkualiti serta jenama yang ada kredibiliti.