Harian Metro

Saudara baru rasai kenikmatan tahan lapar, dahaga

-

Kuantan: “Saya hampir pengsan dan terlalu lemah pada hari pertama puasa. Disebabkan terlalu dahaga dan lapar, saya terpaksa mengambil keputusan berbuka pada jam 2.30 petang dengan makan roti.

“Perasaan sedih dan sayu begitu terasa apabila percubaan pertama saya untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu gagal,” kata remaja Orang Asli, Mohamad Zul Qarnaim Sudin, 17.

Dia yang mengikuti Program Pembanguna­n Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) berkata, pengalaman hari pertama berpuasa tidak mungkin dapat dilupakan selepas memeluk Islam pada Disember tahun lalu.

Namun berbekal semangat menebal dan sokongan ustaz serta rakan, dia kini mampu menjalani ibadah puasa sejak hari kedua Ramadan tanpa banyak masalah, malah kenikmatan menahan lapar dan dahaga mula terasa.

Dia yang berasal dari Kampung Pencerong, Bera, tidak menafikan menjalani ibadat puasa bagi dirinya yang baru tujuh bulan memeluk Islam agak mencabar, namun dia tetap menguatkan semangat menempuhny­a.

“Hati saya tertarik untuk mendekati Islam selepas melihat umat Islam menunaikan solat lima waktu sehari, menjalani ibadat puasa, memilih makanan halal dan sentiasa berkelakua­n baik.

“Sebelum ini saya mengamalka­n kepercayaa­n nenek moyang yang bebas melakukan apa saja, namun hari ini saya perlu taat mengikuti ajaran Islam dan menjalanin­ya dengan tenang,” kata remaja daripada suku kaum Semelai ini.

Bagi Nurul Fatin Qairah Bahdol, 18, hari pertama puasa dia mengalami sakit perut hingga badannya lemah dan hanya mampu berehat di dalam bilik sementara menunggu waktu berbuka.

Dia yang berasal dari Kampung Sungai Tiang, Bertam Cameron Highlands berkata, sebelum memeluk Islam pada Disember lalu, dia pernah beberapa hari berpuasa mengikut beberapa rakannya yang beragama Islam.

“Rasa dahaga dan lapar hanya pada hari pertama puasa, namun selepas itu tidak merasainya. Setiap kali bersahur pula, saya makan nasi bersama rakan dalam suasana yang begitu seronok sekali,” katanya.

 ??  ?? SEBAHAGIAN remaja Orang Asli berbuka puasa pada program PETAMA di Indera Mahkota, Kuantan.
SEBAHAGIAN remaja Orang Asli berbuka puasa pada program PETAMA di Indera Mahkota, Kuantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia