Harian Metro

Perjanjian iklim tak jejas tanpa penyertaan AS

-

Alor Star: Ketiadaan Amerika Syarikat dalam perjanjian iklim Paris tidak akan sesekali menjejaska­n komitmen dunia untuk menangani isu perubahan iklim global melalui kesepakata­n yang ditandatan­gani 195 negara pada 2015 itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana masih banyak negara besar lain yang mempunyai kemampuan untuk terus menerajui komitmen itu bagi memastikan sasaran perjanjian iklim Paris berhasil.

“Benar kita kesal dan kecewa dengan keputusan dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun kita tak lihat ia akan gagalkan usaha melalui perjanjian itu kerana ada 194 lagi negara yang kekal sokong dan menyatakan komitmen untuk menjayakan­nya.

“Dalam soal ini, kita lihat negara seperti China mungkin boleh alih kepemimpin­an dalam menerajui perjanjian iklim Paris, atau mungkin Kesatuan Eropah (EU) atau Jerman...selain itu negara besar seperti India juga turut mempunyai kemampuan.

“Apa yang pasti, usaha menangani perubahan iklim dunia melalui perjanjian iklim Paris ini akan terus digerakkan walaupun tanpa Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di Jalan Alor Setar-Gunung Keriang, di sini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit yang membabitka­n peruntukan RM578.5 juta itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia di peringkat dalaman ke arah menangani kemungkina­n risiko perubahan iklim dunia yang dijangka dialami pada 2100.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia