Harian Metro

Ramadan bukan halangan

Khairy mengetuai 23 pendaki bawa obor ke puncak Gunung Kinabalu

- Cleo Will sukan@hmetro.com.my

Walaupun berpuasa Ramadan, ia bukan penghalang buat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengetuai 23 pendaki lain yang membawa Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ke puncak Gunung Kinabalu, di sini, semalam.

Misi itu bagi membakar semangat atlet negara pada temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan di Kuala Lumpur, Ogos depan.

“Hari ini kami membawa Obor Sukan SEA KL2017 dengan mendaki puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter bagi membuktika­n Malaysia bersungguh-sungguh dalam penganjura­n dan mahu bergelar juara keseluruha­n.

“Saya mengetuai kumpulan 23 pendaki ini bertekad membawa obor temasya bermula dari Timpohon Gate hingga ke puncak Gunung Kinabalu.

“Kelainan seumpama ini menunjukka­n kesungguha­n kita untuk mencatat pencapaian terbaik,” katanya.

Kumpulan itu mendaki hingga ke Laban Rata dan bermalam di situ sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi.

Menurut Khairy, selepas dibawa ke puncak Gunung Kinabalu, obor akan dibawa turun dan disambut pemimpin masyarakat kawasan itu sambil dibawa berlari mengelilin­gi pekan Kundasang.

“Obor akan seterusnya dibawa menjelajah kawasan lain merentasi negeri Sabah sebelum diserahkan kepada wakil dari negeri Sarawak bagi tujuan larian yang serupa,” katanya.

Sabah menjadi destinasi kelima selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta Labuan yang sudah menganjurk­an larian obor itu.

Dalam pada itu, Khairy mengakui beliau amat teruja kerana dapat merasai pengalaman pertama mendaki puncak Gunung Kinabalu yang juga gunung tertinggi di Asia Tenggara.

“Kami berhasrat menunaikan puasa sekalipun mendaki Gunung Kinabalu hari ini dan turun esok. Kami anggap ini sebahagian daripada cabaran semasa Ramadan,” katanya.

 ?? FOTO: CLEO WILL ?? KHAIRY (tengah) bersama pendaki di Laban Rata, Gunung Kinabalu, semalam.
FOTO: CLEO WILL KHAIRY (tengah) bersama pendaki di Laban Rata, Gunung Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia