Harian Metro

Bale bangga Real pertahan gelaran

-

Cardiff, Wales: Gareth Bale memuji kejayaan Real Madrid mencatat sejarah Liga Juara-Juara dengan kemenangan ke atas Juventus ketika pasukan Sepanyol itu muncul kelab pertama mempertaha­nkan gelaran itu selepas 27 tahun.

Bale mengalami kecederaan buku lali dan betis sepanjang musim ini, tetapi penyerang Wales itu tetap menyumbang ketika Madrid membelasah Juventus 4-1 di kampung halamannya selepas menggantik­an Karim Benzema pada minit ke-77.

Aksi dominan Madrid memberikan mereka gelaran Liga Juara-Juara ke-12 dan menjadikan­nya pasukan pertama menjulangn­ya berturut-turut sejak skuad AC Milan 1989 dan 1990.

Anak buah Zinedine Zidane turut menjuarai La Liga dan dua kali menjulang Piala Eropah buat Madrid sejak 1958 dan Bale berkata ia ganjaran untuk kerja keras mereka sepanjang musim.

“Kami mencipta sejarah besar. Kami akan menikmati saat indah ini sekarang. Kami perlukan keyakinan pada separuh masa dan memanfaatk­an peluang dan itulah yang kami lakukan,” kata Bale.

Bale kini menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali sejak menyertai Madrid dari Tottenham pada 2013.

Biarpun hanya membuat penampilan seketika, pemain berusia 27 tahun itu gembira dapat meraikan kejayaan di negara sendiri.

“Ia satu senario yang mengagumka­n. Bandar ini bertindak cemerlang sebagai penganjur acara besar ini,” katanya.

“Menang di kampung halaman sendiri sesuatu yang hebat. Ia musim yang sukar.

“Saya bekerja bersungguh-sungguh untuk kembali cergas dan inilah ganjaranny­a. Saya gembira dapat meneruskan­nya.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia