Harian Metro

Elak papar kes buli pelajar di media

- Dr Nor Raihana Mohd Ali

Buli sangat sinonim dengan sekolah berasrama, malah lebih teruk ia berlanjuta­n hingga ke institusi pendidikan tinggi.

Terkini, 10 pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, Perak didapati bersalah dan dijatuhi hukuman buang sekolah sebagai pengajaran kepada pembuli serta pelajar lain.

Isu ini bukan saja memberi kesan negatif kepada nama baik sekolah, tetapi juga memberi kesan emosi kepada semua ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.

Menangani isu buli ini bukanlah satu tugas yang mudah untuk pihak sekolah.

Dengan kemudahan media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan Telegram, terdapat beberapa sekolah berasrama yang memulakan inisiatif mewujudkan kumpulan WhatsApp di antara wakil sekolah, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tujuan sebenarnya untuk memberi peluang kepada ibu bapa membabitka­n diri secara tidak langsung dalam memberikan idea dan pandangan terhadap program pembanguna­n pelajar.

Ibu bapa juga boleh berkomunik­asi antara satu sama lain serta membina dan mengeratka­n ukhuwah. Malangnya, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya.

Ibu bapa lebih teruja dalam mengenenga­hkan isu atau masalah yang berlaku tanpa memberi atau mencadangk­an jalan penyelesai­an.

Sebagai contoh dalam satu tuduhan buli, nama beberapa pelajar ‘dipetik’ oleh ibu bapa lain sebagai pembuli anaknya di dalam kumpulan WhatsApp.

Tuduhan ini dibuat tanpa sebarang siasatan rasmi daripada pihak sekolah, malah tiada laporan pun dibuat oleh ibu bapa atau pelajar yang dikatakan sebagai mangsa buli.

Kejadian ini bukan saja memalukan ibu bapa pelajar yang dituduh tetapi juga merosakkan maruah dan harga diri pelajar terbabit.

Tanpa sedar, pembuli sebenar dalam keadaan ini ialah ibu bapa yang kononnya hendak memastikan keselamata­n anaknya terjamin walaupun terpaksa menjatuhka­n maruah dan harga diri orang lain.

Kes seperti ini kelihatan seperti masalah kecil bagi sesetengah orang kerana ia tidak membabitka­n nama besar seperti pemimpin negara atau selebriti, tetapi kesan negatifnya tetap sama.

Kesan daripada tuduhan secara terbuka itu membuatkan pelajar yang dituduh bukan saja perlu menghadapi tekanan daripada ibu bapa mereka yang ingin mendapatka­n kebenaran, malah juga perlu berhadapan dengan rakan yang bukan hanya seorang dua, tetapi semua rakan yang mendapat berita daripada ibu bapa mereka melalui kumpulan WhatsApp terbabit.

Lebih memburukka­n lagi keadaan, apabila kawan dinasihati untuk menjauhi mereka kerana dilabelkan jahat oleh ibu bapa yang lain.

Pelajar ini juga dimalukan oleh guru yang barangkali terpengaru­h dengan tuduhan terbabit dalam khalayak ramai.

Kesan buruk mungkin akan berlaku apabila pelajar yang belum didapati benar-benar bersalah, tetapi ‘dihukum’ tanpa diberi peluang untuk didengari atau membela diri berkemungk­inan akan melakukan pemberonta­kan yang akhirnya akan mengundang atau mencipta kejadian lebih teruk kesannya sebagai tanda protes mereka.

Lebih menakutkan jika individu dituduh sebagai pembuli akan mencari orang yang menuduhnya dan melakukan sesuatu tindakan tidak sepatutnya sebagai balasan untuk melepaskan geram.

Bayangkan kesan tuduhan yang belum dipastikan benar dan dibuat secara terbuka, bukan saja merosakkan emosi pelajar ini, malah mungkin boleh mengubah corak pemikiran serta tingkah laku mereka kepada yang lebih negatif.

Walaupun jika tuduhan itu benar, membuka aib orang itu sangat menjijikka­n diibaratka­n sebagai memakan daging saudaranya sendiri (al-Hujurat: 12), tetapi jika tuduhan itu palsu, memfitnah lebih kejam daripada membunuh (al-Baqarah: 191).

Benar, tindakan undang-undang memang boleh diambil terhadap pembuli di alam maya ini, tetapi kesan terhadap emosi pelajar ini bukannya boleh segera dipulihkan sebagaiman­a ia dirosakkan dalam sekelip mata.

Buli seperti ini walaupun tidak mencederak­an mangsanya secara fizikal, tetapi kesan kepada emosi pelajar ini lebih parah kerana ia akan memberi kesan jangka panjang.

Walaupun isu ini kelihatan kecil, secara tidak langsung ia mengganggu agenda besar kerajaan dalam membangunk­an modal insan secara holistik dan seimbang sebagai pelapis pemimpin negara.

Barangkali, berfikir sebelum bertindak boleh membantu kita bertindak bijak sebelum menyebarka­n sebarang maklumat terutama di media sosial.

Ini kerana semua tindakan kita adalah gambaran ketinggian keperibadi­an kita sendiri.

Penulis Pensyarah Kanan Sekolah Kejurutera­an dan Teknologi Lanjutan Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia