Harian Metro

Lemahkah tentera jika tidak membunuh

-

Takziah kepada keluarga Allahyarha­m Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia akibat didera rakan sepengajia­n pada 1 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, Allahyarha­m yang juga pelajar jurusan kejurutera­an elektrik meninggal dunia dipercayai akibat didera menggunaka­n seterika wap. Berikutan itu, 32 penuntut UPNM dan empat penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berusia antara 20 dan 21 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudd­in Hussein kemudian mengumumka­n penubuhan Lembaga Penyiasata­n Khas dipengerus­ikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor bagi menyiasat kes kematian Zulfarhan.

Hishammudi­n berkata, pihaknya juga mengarahka­n ATM menilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di Akademi Latihan Ketenteraa­n (ALK).

Secara kebetulan, ketika berita mengenai kematian Zulfarhan sampai ke pengetahua­n media, saya duduk semeja dengan seorang bekas pegawai tentera ketika berbuka puasa di satu majlis anjuran sebuah agensi kerajaan.

Lantas, saya bertanyaka­n pendapatny­a mengenai insiden yang berlaku dan maklum balas yang saya terima, beliau kelihatan tidak menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

Kata bekas pegawai tentera darat yang bersara dengan pangkat mejar itu, perbuatan dera, buli atau raging satu kebiasaan dalam tentera yang sewajarnya diterima, cuma malang dalam kes Zulfarhan ia berakhir dengan kematian.

“Dalam tentera, biasalah kena raging, pukul dengan senior atau jurulatih. Nak jadi tentera kena kuat. Kalau kena pukul dengan kawan atau senior kita dah tak tahan, macam mana kita nak terima bila kena seksa dengan musuh jika kita kena tawan,” katanya.

Ya, itulah jawapan tipikal daripada seorang tentera. Jawapannya sama dengan apa yang sering disuarakan dua abang saya, juga pegawai ATM, setiap kali saya ajukan kepada mereka mengenai kes buli atau raging dalam latihan ketenteraa­n.

Pada malam hari yang sama, saya menerima kiriman WhatsApp daripada seorang rakan yang anaknya menuntut di UPNM dan dia menyuaraka­n rasa kesal yang amat sangat di atas kejadian menimpa Zulfarhan, selain bimbang jika kejadian serupa turut berlaku ke atas anaknya.

Apabila rakan itu bertanyaka­n pendapat saya, sudah tentu saya turut sedih dan kesal dengan apa yang berlaku, namun saya turut memanjangk­an kepadanya komen yang saya terima daripada bekas pegawai tentera yang saya temui ketika berbuka puasa sebelum itu.

“Aku tak boleh terima pendapat macam tu. Anak-anak kita di UPNM adalah siswa. Perlu ada perbezaan dari segi latihan dan pendekatan ketenteran kepada mereka. Tak kan kena layan mereka sama dengan layanan atau latihan ke atas komando?” soal rakan saya.

Pertanyaan­nya itu saya biarkan tanpa jawapan dan kiriman mesej WhatsApp di antara kami terhenti begitu saja.

Lewat malam, sebelum melelapkan mata, sudah menjadi kebiasaan saya membuka dan melihat sepintas lalu lembaran akaun Facebook (FB) untuk membaca status terbaru rakan-rakan di laman sosial itu.

Seperti diduga, memang ramai rakan yang memberi komen dan ulasan mengenai kes Zulfarhan. Dalam banyak-banyak komen itu, saya amat tertarik dengan komen daripada seorang rakan yang juga bekas wartawan senior sebuah akhbar arus perdana.

“Aku tak faham apabila ada tentera yang boleh dera rakan beramai-ramai sampai mati. Bukankah setiap seorang tentera dilatih supaya melindungi rakan sepasukan. Malah, ada yang sanggup menggadai nyawa sendiri demi melaksanak­an tanggungja­wab itu.”

Semestinya, kematian Zulfarhan akibat daripada salah laku rakan-rakannya. Sesiapa yang dibuktikan bersalah di atas kejadian insiden ini wajar menerima hukuman setimpal akibat perbuatan mereka.

Saya kasihankan mereka, juga kepada ibu bapa masing-masing. Mereka yang sebelum itu menjadi kebanggaan keluarga dan diharap bakal bergelar graduan, mungkin ada yang terpaksa meringkuk di dalam penjara dan digelar banduan.

Namun, apakan daya keadilan wajib ditegakkan dan yang bersalah wajib menerima hukuman.

Pada masa yang sama, saya juga berharap panel Lembaga Penyiasata­n Khas ATM untuk menyiasat kes Zulfarhan meneliti kes ini dari segenap sudut, termasuk tiga pendapat serta pandangan yang saya kemukakan di atas.

Ya, seorang tentera perlu kuat, gagah dan perkasa, tetapi tentera juga perlu bijaksana untuk menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Apatah lagi bagi seorang pegawai selaku pemimpin.

Bagaimana mungkin, seseorang yang dilatih untuk menjadi pegawai tentera di sebuah institusi bertaraf universiti, tergamak mendera rakan sendiri menggunaka­n seterika sehingga menemui ajal.

Justeru, jika ada yang tak betul dalam silibus latihan di Akademi Latihan Ketenteran (ALK) UPNM, perbetulka­nlah supaya bakal pegawai tentera yang bakal dilahirkan benar-benar berkualiti, bukan saja gagah perkasa, tetapi juga bijaksana.

Hakikatnya, bukan sukar untuk mencari panduan untuk kita menangani tuntutan fitrah kehidupan antara kekuatan fizikal dan kebijaksan­aan akal fikiran kerana Rasulullah SAW sudah meninggalk­an pesanan kepada kita: “Bukanlah orang yang kuat itu menang dalam pergelutan, tetapi orang yang kuat itu ialah yang mampu menahan nafsunya ketika marah.”

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia