Harian Metro

Melayang peluk tubuh

- Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz, Rabi’ atul Adawiyah Ismail, Nurul Hidayah Bahaudin, Abnor Hamizan Abd Manap dan Shamsudin Husin. am@hmetro.com.my

“Tengah hari tadi (semalam), saya menonton berita mengenai dua juruterban­g pesawat Hawk hilang di televisyen, tapi saya buat tak tahu kerana sangka ia tak membabitka­n anak saya kerana dia bertugas di Labuan, Sabah sedangkan kejadian berlaku di Kuantan.

“Tiba-tiba menantu hubungi saya memaklumka­n Hasri (Mejar) terbabit nahas pesawat itu.

“Dia juga memaklumka­n, pesawat anak belum ditemui,” kata Zahari Md Din, 65, bapa juruterban­g Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Hasri, 31, yang terkorban selepas pesawat Hawk 108 yang dipandu bersama rakan setugasnya, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, terhempas ketika menjalani sesi latihan di Chukai, Kemaman, Terengganu, jam 11 pagi.

Pesawat dipandu Hasri dan Yazmi terputus hubungan dengan menara kawalan jam 11.30 pagi sebelum gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarka­n.

Zahari yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Felda Lui Muda di sini berkata, dia langsung tidak tahu anaknya berada di Kuantan, Pahang untuk menjalani latihan.

Sebaik mendengar berita itu, katanya, dia sekeluarga bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Zahari berkata, Hasri anak lelaki tunggal daripada empat beradik sepatutnya pulang beraya di kampung esok, (hari ini) bersama isteri dan bayi perempuan mereka berusia enam bulan selepas mendapat cuti 10 hari.

“Anak perempuan saya berjanji menjemput Hasri sekeluarga di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) esok (hari ini).

“Kali terakhir dia hubungi ibunya, Hatijah Abd Hamid seminggu lalu namun saya tidak tahu apa yang mereka bualkan,” katanya.

Jenazah anaknya diterbangk­an dengan helikopter dari Kuantan ke Felda Lui Muda, jam 10 pagi ini sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda.

Di Chukai, suri rumah dari Kampung Pondok Pasir, Siti Zamilah Husin, 27, mendakwa terdengar bunyi pesawat terbang rendah sebelum melihat dua lelaki seperti berpeluk tubuh melayang ke udara dengan payung terjun.

“Pada mulanya, saya tidak tahu mereka itu juruterban­g pesawat tentera, tetapi ada dengar bunyi enjin pesawat terbang rendah sebelum itu,” katanya di rumahnya, semalam.

Sejurus kemudian dia meluru keluar dan melihat pesawat itu terbang rendah kira-kira 200 meter dari rumah.

“Saya nampak dua objek seperti orang melayang di udara bersama payung terjun sebelum jatuh di kawasan belukar berpaya lebih 100 meter dari rumah saya.

“Saya terkejut diberitahu anggota bomba yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dua jam kemudian bahawa orang yang saya lihat itu juruterban­g tentera udara,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superinten­dan Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menjalanka­n usaha mengesan mangsa di lokasi sebaik menerima laporan.

“Seramai 20 anggota dan pegawai polis dibantu 13 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota tentera bersama sembilan kakitangan Hospital Kemaman terbabit dalam gerakan mengesan mangsa.

“Mangsa dijumpai anggota tentera, jam 2.30 petang dan jasad mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya.

Sumber yang dipercayai dari pangkalan TUDM di Labuan memberitah­u, dua wanita itu yang dalam kesedihan atas kehilangan suami mereka tidak dibenarkan ditemu bual.

 ??  ?? SITI Zamilah menceritak­an kejadian yang disaksikan­nya.
SITI Zamilah menceritak­an kejadian yang disaksikan­nya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia