Harian Metro

Padah langgar anjing cacat

- Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

 Tukang kayu didakwa seret haiwan peliharaan jiran sejauh 50 meter dengan pacuan 4 roda

Seorang tukang kayu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan melanggar mati seekor anjing yang cacat di kaki milik jirannya menggunaka­n sebuah kenderaan pacuan empat roda, awal tahun ini.

Tertuduh, Chang Yau Sang, 46, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara melanggar anjing milik seorang wanita, S Shaila, 41, menggunaka­n kenderaan jenis Ford Ranger di kawasan perumahan di Jalan Damai 4/1, Kinrara Residence Damai Utama, Puchong, di sini pada jam 2.30 pagi, 10 Januari lalu.

Dakwaan kes dikemukaka­n mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanap­un, tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar jaminan tinggi dan juga penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh melanggar dan menyeret haiwan itu sejauh 50 meter ketika pemiliknya membawa anjingnya bersiar-siar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia