Harian Metro

‘Kuman’ gigit kepala

- Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail rabiatul@hmetro.com.my

 Dua beradik ditipu perunding rawatan rambut RM300,000

Sanggup serah duit hampir RM300,000 semata-mata percaya kulit kepala rosak diserang bakteria berbahaya.

Itu nasib malang menimpa dua beradik perempuan yang diperdaya perunding kecantikan yang menawarkan 31 sesi rawatan rambut di sebuah premis di Petaling Jaya, di sini.

Mangsa Elizabeth Chow, 47, berkata, penipuan bermula apabila dia menerima e-mel promosi dari sebuah pusat rawatan rambut hujung tahun lalu.

Tertarik dengan tawaran itu, dia pergi mencuba rawatan percuma ditawarkan sebelum dipujuk membeli beberapa pakej rawatan rambut untuk kelemumur, penjagaan dan penggunaan herba bersama produk berharga RM12,910.

“Pada kunjungan kedua Februari lalu, saya dipujuk untuk membeli pakej rawatan baru dan baucar bernilai RM13,864.

“Perunding kecantikan di premis itu memaklumka­n kulit kepala dan rambut saya masih bermasalah, termasuk mempunyai bakteria di kepala. Mereka mengesyork­an saya membeli pakej rawatan lain dengan keseluruha­n bayaran sebanyak RM264,048,” katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Elizabeth berkata, pembayaran dilakukan menggunaka­n kad kredit, cek dan kad debit sebanyak 12 transaksi dengan sebahagian pembayaran tidak disertakan resit rasmi daripada pusat rawatan itu.

Katanya, dia pernah meminta supaya wang dikembalik­an, tetapi pihak salun kecantikan itu tidak mengendahk­an permintaan­nya, malah mengarahka­n dia meneruskan rawatan mengikut pakej yang sudah dibeli.

Sementara itu kakak kepada Elizabeth, Margaret Chow, 56, mengalami kerugian RM30,823 selepas membeli tujuh pakej rawatan rambut di pusat rawatan sama.

“Pada mulanya, saya hanya menemani adik untuk mencuba rawatan rambut di pusat rawatan itu, tetapi turut dipujuk untuk membeli pakej sama.

“Mereka turut mendakwa rambut saya bermasalah termasuk mempunyai bakteria di kulit kepala,” katanya.

Menurutnya, mereka bagaimanap­un menyedari ditipu selepas doktor pakar ditemui menafikan kulit kepala mereka bermasalah.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima 11 kes aduan berhubung penipuan pembelian pakej kecantikan membabitka­n rawatan muka dan rambut.

Katanya, kerugian yang dilaporkan membabitka­n jumlah antara RM2,000 dan RM294,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia