Belanja sambil menderma
Maroz Tailoring adakan jualan amal sempena Aidilfitri bantu kanak-kanak terpinggir
Pelanggan bukan saja dapat membeli pakaian berkualiti dengan harga berpatutan, pada masa sama membuat amal di bulan Ramadan”
Maideen Kadir Shah
Berbelanja untuk membeli pakaian raya dan pada masa sama turut menyumbang kepada golongan kanak-kanak yang terpinggir di Chow Kit, di sini.
Itu inisiatif yang dilaksanakan butik pakaian Maroz Tailoring apabila mengadakan jualan amal sempena Aidilfitri di butiknya di Keramat AU3, kelmarin.
Pengarah Urusan Maroz Tailoring Sdn Bhd, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, hasil jualan amal itu nanti akan disumbangkan kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan.
“Sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah jualan sepanjang hari ini (semalam) menerusi pembelian tunai disumbangkan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit.
“Pelanggan bukan saja dapat membeli pakaian berkualiti dengan harga berpatutan pada masa sama dapat membuat amal di bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, kelmarin.
Jualan amal selama 18 jam dari 10 pagi kelmarin hingga 4 pagi semalam itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi Oja pada sebelah malam dan Chef Fikri yang menyediakan menu untuk moreh.
Maroz turut menyediakan 300 pek makanan untuk bersahur kepada pelanggan yang datang sempena jualan amal berkenaan.
Sementara itu, pensyarah universiti swasta, Mohd Azam Khan Goriman Khan, 57, pula mahu inisiatif seperti ini disokong orang ramai.
“Satu perkara yang cukup baik. Kita dapat peluang untuk membeli pakaian yang cukup cantik, pakej yang cukup cantik. Pada masa sama kita tahu ia disumbangkan (kepada badan amal). Ini bukan selalu kita dapat buat. Jadi bila ada amal yang macam ni kita patut sokong. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui.
Di samping itu, ahli perniagaan, Muhiddin Abas, 40, berkata, cara beramal ini patut dicontohi oleh ahli perniagaan lain.
“Pada pandangan saya inilah yang perlu kita buat kerana selama ini ramai ahli perniagaan mahu beramal dan ini yang mereka perlu lakukan iaitu sokong orang-orang susah, ini memang yang terbaiklah dan patut dicontohi oleh ahli perniagaan yang lain,” katanya.
Maroz Tailoring yang terletak di Keramat AU3 menjual lebih 50 jenis kelengkapan Aidilfitri dan menawarkan harga berpatutan sehingga malam raya nanti.