Lubuk PATI
Pusat hiburan dikesan paling banyak gaji warga asing
Pusat karaoke dan hiburan dikesan antara premis perniagaan paling banyak menggaji warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya menyalahguna pas lawatan atau tiada dokumen perjalanan sah.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau aktiviti dilakukan premis perniagaan seumpama ini.
“Kami nampak premis itu menggaji ramai PATI yang melakukan kesalahan seperti menyalahgunakan pas atau tidak mempunyai dokumen diri.
“Semua premis perniagaan ini dipantau PBT. Kita mahu mereka (PBT) putuskan rantaian yang ada di premis seumpama ini. Malah jika perlu ditutup, tutuplah,” katanya selepas menyertai Ops Gegar diadakan di persekitaran pusat hiburan ternama terletak di Kompleks Bebas Cukai di Stulang Laut, di sini, kelmarin.
Operasi yang membabitkan 75 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Johor itu turut disertai Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Rohaizi Bahari.
Dalam operasi yang bermula jam 11.30 malam itu, seramai 178 individu diperiksa dan 69 warga asing membabitkan pelbagai warganegara berusia 15 hingga 48 tahun ditahan.
Mustafar berkata, pengunjung premis hiburan sengaja menimbulkan provokasi dan kekecohan dengan tujuan mengelirukan anggota imigresen selain membolehkan pekerja warga asing melarikan diri.
Beliau berkata, seramai 57 wanita warga asing ditahan dan ditangkap membabitkan warga Vietnam, Indonesia, Thailand dan China manakala selebihnya 12 lelaki warga Indonesia, Myanmar, India, Bangladesh dan Vietnam.
Katanya, mereka ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk menggunakan cap palsu mengikut Seksye 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c ) akta sama kerana tinggal di Malaysia melebihi masa.
“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.