MEXII dijangka siap penghujung 2019
Dengkil: Lebuhraya Maju Expressway II (MEXII) yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap pada penghujung 2019 sekali gus mampu mengatasi kesesakan lalu lintas dihadapi penduduk setempat terutama sekitar sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif berkata, lebuh raya dibangunkan Maju Expressway Sdn Bhd itu dijangka berupaya mengurangkan perjalanan pengguna termasuk penduduk di sini untuk ke KLIA.
“Buat masa ini, kerja pengambilan tanah iaitu di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dengkil sudah dilakukan bagi kerja pembinaan lebuh raya ini.
“Kawasan itu akan dibangunkan jejambat untuk pengguna kenderaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Kasih Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan di daerah ini di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Maju Expressway Sdn Bhd Riza Selahettin Kuddus dan Naib Presiden KBS Konsortium Berhad Ahmad Mahathir Safirin Md Som.
Lebuhraya MEXII dibangunkan dengan tiga lorong di kedua-dua arah menelan belanja lebih RM1 bilion dan ia dibina dengan jarak sejauh 18 kilometer (km).
Berhubung pembinaan jejambat di simpang empat Kampung Semarang, Dengkil, Shahrum berkata, ia dalam peringkat akhir bagi menilai permohonan daripada pihak kontraktor.
“Saya yakin dalam tempoh dua bulan, akan diberi lantikan kepada kontraktor yang layak seterusnya projek itu bakal bermula pada tahun ini.
“Pengguna diminta bersabar sepanjang tempoh kerja pembinaan jejambat dilakukan dan kita ada menerima aduan mengenai kesesakan di simpang berkenaan sekali gus diharap dapat diselesaikan selepas siap sepenuhnya projek ini,” katanya.
Pada 27 Julai tahun lalu, Shahrum dipetik berkata, kerajaan meluluskan pembinaan jejambat di simpang empat Kampung Semarang di sini yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019 dengan anggaran kos hampir RM100 juta.