Harian Metro

‘Dia rela lepas jawatan’

- Mohd Husni Mohd Noor mhusni@hmetro.com.my

 Perdana Menteri sahkan Isa Samad bukan lagi Pengerusi FGV

“Beliau (Tan Sri Isa Samad) rela hati dan setuju untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGV),” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri semalam mengesahka­n Isa tidak lagi memegang jawatan Pengerusi FGV manakala, Tan Sri Sulaiman Mahbob pula dilantik serta-merta sebagai pemangku Pengerusi syarikat berkenaan.

Beliau berkata, bagi menghargai peranan Isa sebelum ini, beliau juga bersetuju melantikny­a sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat (SPAD) berkuatkua­sa serta merta.

“Saya sudah bertemu dengan Isa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pagi tadi (semalam) bagi membincang­kan masa depan FGV dan peranan Isa dalam syarikat itu.

“Di samping itu, Lembaga Inkuiri FGV juga akan mengambil tindakan bagi menentukan proses keadilan untuk Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim yang diarahkan bercuti oleh Lembaga Pengarah FGV pada 6 Jun lalu,” katanya pada sidang media selepas menyempurn­akan majlis penyerahan kunci rumah kepada pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, Presint 17, di sini, semalam.

Katanya, tindakan itu perlu mengikut prinsip tadbir urus syarikat dan ia perkara biasa bagi sebuah syarikat.

“Apabila ada Lembaga Inkuiri bukan bererti dia bersalah, tapi proses yang perlu dilakukan, bila dah selesai nanti pihak Lembaga Pengarah FGV akan buat keputusan yang seadil dan sebaik mungkin,” katanya.

Najib berkata, menerusi penyusunan semula itu, ia mencermink­an hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV di landasan yang lebih kukuh dari segi pengurusan selain mempunyai masa depan yang cerah.

Ditanya kenapa Sulaiman dilantik sebagai pemangku, Perdana Menteri berkata, ia kerana perubahan segera yang perlu dilakukan.

“Kalau ada orang baru, perlu dilantik lembaga dan ia akan memakan sedikit masa, kita mahu FGV meneruskan operasi tanpa gangguan,” katanya.

Sulaiman sebelum ini, menjawat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV dan Pengerusi Telekom Malaysia (TM) selain Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti; Institut Penyelidik­an Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga adalah Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Abdul Razak dengan mengajar bidang Ekonomi dan Dasar Awam.

Sulaiman, lulusan Ekonomi dari UM, menyambung pengajian di University of London. Beliau menyempurn­akan pengajian PhD di Maxwell School of Citizenshi­p dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada awal tahun 1986.

 ??  ?? NAJIB menyerahka­n replika kunci kepada pemilik PPA1M Selasih di Putrajaya, semalam.
NAJIB menyerahka­n replika kunci kepada pemilik PPA1M Selasih di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia