Harian Metro

Perintah KDN fail laporan pakar

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, memerintah­kan Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) memfailkan laporan pakar berhubung penggunaan kalimah Allah sama ada ia eksklusif untuk orang Islam atau tidak.

Perkara itu dimaklumka­n Peguam Annou Xavier ketika ditemui di sini, semalam, selepas pengurusan kes Jill Ireland Lawrence Bill mencabar keputusan KDN merampas lapan cakera padat (CD) ajaran Kristian yang mengandung­i kalimah Allah.

Annou yang mewakili Jill berkata, Hakim Datuk Norbee Arifin mengarahka­n KDN memfailkan laporan itu pada atau sebelum 14 Julai ini.

Menurutnya, mahkamah juga menetapkan 19 September depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman Jill itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutua­n Shamsul Bolhassan yang mewakili KDN ketika ditemui mengesahka­n perkara terbabit dan memaklumka­n pihaknya akan bekerjasam­a dengan kementeria­n untuk mengenal pasti pakar yang akan menyediaka­n laporan berkenaan.

Pada 11 Mei 2008, CD ber judul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah, Sepang.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintah­kan CD itu dikembalik­an kepada Jill, tetapi mahkamah tidak mengeluark­an perintah terhadap pengisytih­aran yang dimohon wanita itu bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandung­i perkataan Allah.

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengesahka­n keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah­kan KDN memulangka­n lapan CD mengandung­i kalimah Allah milik Jill selepas menolak rayuan KDN dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan juga memerintah­kan permohonan pengisytih­aran itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia