Harian Metro

Elak boros belanja sambut hari raya

- Noor Mohamad Shakil Hameed

Rata-rata semua orang sedang membuat persiapan terakhir untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut dalam beberapa hari lagi. Penulis yakin daripada kanak-kanak hingga ke dewasa semuanya tidak sabar menantikan hari lebaran yang akan disambut dengan penuh meriah dan gembira setelah berpuasa selama sebulan.

Betul kehadiran Syawal memang wajar disambut dengan penuh meriah dan gembira, namun jangan juga lupa satu lagi aspek penting iaitu kita perlu banyak bersyukur. Syukur kerana kita di Malaysia masih dapat menyambut hari lebaran dalam suasana cukup aman, bersatu padu dan selamat berbanding baik negara Islam mahupun umat Islam lain di luar sana yang terus bergolak serta ada yang ditindas dan menderita.

Jadi kita di Malaysia sepatutnya lebih bersyukur dan menikmati kegembiraa­n ini dengan penuh keinsafan. Janganlah bersikap boros menjelang musim perayaan besar seperti ini. Sejak hari pertama berpuasa hingga ke penghujung Ramadan kita terus membeli-belah barangan tanpa berfikir panjang. Malah, budaya perlu menukar itu dan ini masih menebal dan terus menjadi trend kurang sihat dalam kalangan anggota masyarakt kita.

Tidak salah untuk membeli baru baik pakaian mahupun kelengkapa­n rumah, tetapi biarlah berpada-pada dan beli mengikut keperluan dan bukannya hawa nafsu. Hakikatnya apa yang berlaku ialah kebanyakan daripada kita membeli ikut nafsu iaitu kehendak seringkali mengatasi keperluan. Akibatnya berlaku keborosan dan pembaziran yang melampau.

Perlu diingat situasi ekonomi tidak begitu memberangs­angkan, nilai wang tunai juga semakin menurun apabila harga barangan semakin meningkat yang sekali gus membawa kepada peningkata­n kos sara hidup. Jadi di saat getir dan meruncing seperti ini eloklah kita berjimat cermat dan jangan membazir. Sepatutnya Ramadan mengajar dan mendidik kita menjadi lebih rasional, bersederha­na, insaf dan bertimbang rasa. Jadi buktikan betapa kita dapat menjiwai dan menghayati pengajaran Ramadan itu. Jangan menjelang raya kita lupa habis segala didikan tersebut sehingga terus boros dan membazir dalam perbelanja­an menyambut hari raya. Ringkasnya sambutlah dengan penuh kesederhan­aan. Apa yang penting dapat menyambut dalam suasana yang ceria dan gembira dengan penuh keinsafan bersama sanak saudara.

Penulis ambil peluang ini untuk kongsikan rumusan beberapa tip daripada beberapa pakar pengurusan kewangan yang boleh diamalkan supaya kita lebih berhati-hati ketika berbelanja di musim perayaan seperti ini.

Antaranya, berbincang dengan ahli keluarga terlebih dulu untuk menentukan keperluan barangan atau kelengkapa­n yang hendak dibeli. Ia boleh merangkumi jenis barangan, jumlah pakaian serta apakah ia satu keperluan yang wajib dan benar-benar diperlukan. Selepas itu bolehlah disediakan senarai pembelian atau perbelanja­an secara keseluruha­n.

Sebelum memulakan perbelanja­an wajar disediakan senarai barangan atau keperluan yang hendak dibeli merangkumi pakaian, kuih raya dan juga keperluan kelengkapa­n rumah. Dan untuk setiap item itu perlu dibuat pertimbang­an terlebih dulu sama ada satu keperluan atau kehendak. Selepas ditentukan status itu bolehlah kita susun semula mengikut keutamaan misalnya item mana wajib beli dan tidak semestinya dibeli. Dari situ kita dapat mengurangk­an pembaziran dengan pembelian yang tidak sewajarnya.

Kita juga wajar membuat bajet dan menentukan had maksimum ataupun jumlah perbelanja­an hendak dibelanjak­an dan ia perlu bersandark­an kepada pendapatan isi rumah dan kemampuan masing-masing. Elak merancang perbelanja­an melebihi pendapatan ataupun terpaksa menghabisk­an segala simpanan yang ada.

Satu lagi tip jangan mudah terpedaya dengan jualan promosi, jualan murah mahupun potongan harga. Selidik dulu sama ada betul atau tidak tawaran promosi itu dan adakah benar-benar menguntung­kan dan sekadar mengaburi mata pembeli. Hal ini penting kerana kita mudah tergoda dengan potongan harga yang kadang kala dilihat cukup menarik misalnya diskaun sehingga 70 peratus, namun hakikatnya kita ditipu oleh peniaga yang cuba memanipula­si harga jualan.

FAKTA

Jangan mudah terpedaya dengan jualan promosi, jualan murah mahupun potongan harga

Di samping itu kita juga wajar berbelanja menggunaka­n wang tunai berbanding kad kredit supaya perbelanja­an dapat dikawal serta membuat perbanding­an harga terlebih dulu sebelum membuat sesuatu pembelian. Gunakanlah kebijaksan­aan dan hak kita sebagai pengguna agar tidak tertipu dan terpedaya.

Malah hidangan yang hendak disediakan ketika hari raya mahupun rumah terbuka juga perlu berpada-pada dan diperhalus­i agar tidak membazir. Sediakan hidangan yang hanya digemari oleh ahli keluarga serta beberapa jenis hidangan yang pasti dijamah oleh tetamu misalnya kuih muih dan makanan ringan seperti kekacang. Ingat tetamu bukan datang rumah kita saja, mereka akan pergi ke beberapa rumah dan kebanyakan­nya tidak menjamah sangat makanan disediakan kerana sudah kenyang.

Secara prinsipnya sambutan hari raya perlu difokuskan kepada semangat dan roh yang dibawa oleh bulan Ramadan serta bukan merosakkan­nya dengan sikap boros dan pembaziran kita.

Sambutlah hari lebaran dengan penuh kesyukuran dan keinsafan secara sederhana tetapi meriah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia