Harap ihsan RM10,000
Rumah kebajikan Nur Sakinah belum berpeluang mendaftar
Sejak ditubuhkan lima tahun lalu, rumah kebajikan Nur Sakinah di Taman Subang Murni, dekat sini, masih belum berpeluang membuat pendaftaran seperti yang diwajibkan pihak berkuasa.
Bukan tidak mahu berbuat demikian namun mereka memerlukan dana RM10,000 untuk melakukannya.
Pengurusnya Shafiyah Azmi, 27, berkata, dana itu digunakan untuk menyediakan keperluan bagi proses pendaftaran selain mengikut syarat ditetapkan.
“Sehingga kini, kami masih belum berdaftar kerana memerlukan dana dan sumbangan orang ramai untuk menyelesaikan masalah ini. Kami tiada masalah berkaitan bomba atau penduduk kerana mereka menerima seadanya rumah kebajikan ini.
“Namun, disebabkan kekurangan dana untuk mendaftar, kami tidak dapat menerima mana-mana bantuan daripada agensi berkaitan tetapi hanya menerima bantuan daripada individu serta sukarelawan,” katanya.
Rumah kebajikan itu menempatkan 31 anak yatim, fakir miskin dan asnaf berusia empat tahun hingga enam tahun.
Shafiyah ditemui pada penyerahan sumbangan 10 kotak rezeki besar mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan pelbagai lagi selain wang zakat RM3,500 menerusi program #HMKotakRezeki2017 semalam.
Sumbangan disampaikan Pengurus Affin Bank Berhad Cawangan Denai Alam Hilmi Iskandar Hashim bersama Ketua Biro Harian Metro Selangor Fuad Hadinata Yaacob.
#HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama.
Penaja lain termasuk pasar raya Giant, Watsons Malaysia, Yayasan Kesejahteraan Bandar, Richwell, Lifebuoy, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker manakala Poslaju sebagai rakan kurier rasmi.
Shafiyah turut memaklumkan pihaknya memerlukan kenderaan pelbagai guna untuk kegunaan rumah kebajikan itu.
Sementara itu, Hilmi Iskandar berkata, bantuan itu adalah inisiatif Affin Bank bersama Affin Islamic Bank dan Harian Metro untuk menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan terpilih melalui sebahagian wang zakat daripada pihaknya.
“Affin Bank bekerjasama dengan Harian Metro mengenal pasti rumah kebajikan yang memerlukan bantuan dan wang zakat ini diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya.