Wanita sarat mengandung nafi perdaya juruterbang RM800,000
Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 10 pertuduhan memperdaya seorang juruterbang berhubung tender membekalkan baju celoreng tentera membabitkan kerugian hampir RM800,000 dua tahun lalu.
Norhemira Juliana Abd Rashid, 30, yang sarat mengandung lapan bulan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Muhammad Hafifuddin Abdul Rahman, 26, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa syarikatnya Empayar Dahlia Holding Sdn Bhd mendapat tender membekalkan baju celoreng digital tentera kepada Kementerian Pertahanan yang syarikatnya memerlukan suntikan modal.
Perbuatan itu dengan curangnya mendorong Muhammad Hafifuddin membuat pembayaran berjumlah RM729,950 ke dalam akaun Maybank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor antara 3 September 2015 hingga 24 Mac 2016.
Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan
Ram Vincent.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM65,000 dan menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes.