Tersedak 2 kali terus senyap
Pelajar Kolej Vokasional maut dirempuh MPV
“Saya hanya sempat mendengar arwah tersedak dua kali sebelum senyap manakala rakannya tidak sedarkan diri,” kata Muhammad Nabil Mazlan, 30, ketika menceritakan kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, kelmarin.
Muhammad Nabil, individu pertama tiba di lokasi kemalangan jalan raya yang mengorbankan penunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja RR, Muhammad Irfan Ramadan Saadon, 19, manakala rakannya yang juga pembonceng, Aiman Faris Zulkafli, 19, kritikal dan kini ditempatkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Menceritakan kejadian itu, Muhammad Nabil berkata, ketika itu mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Pilah.
“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 9 malam, saya ternampak dua remaja terbaring atas jalan raya menghala ke Kuala Pilah.
“Saya berhentikan kenderaan untuk membantu mereka. Ketika itu arwah dalam keadaan mengiring dan sedarkan diri. Arwah tersedak dua kali dan memuntahkan darah daripada mulut, selain darah keluar daripada hidung.
“Rakannya pula dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kakak saya menghubungi ambulans untuk membawa mereka ke hospital.
Ketika kejadian itu, kata Muhammad Nabil, hanya terdapat sebuah motosikal dan Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 34 tahun.
“Menurut saksi yang juga pemandu lori, motosikal dinaiki dua remaja itu terbabas dan mereka tercampak ke seberang jalan. Kedua-duanya terbaring di atas jalan raya dan sebuah Perodua Alza dari Seremban tidak sempat mengelak lalu merempuh mereka,” katanya.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan rumah arwah dan kedua-dua ibu bapanya, Jamzuriani Mustafa dan bapanya, Saadon Othman berusia 50-an, tidak dapat menahan rasa sebak.
Difahamkan, Allahyarham anak lelaki bongsu tunggal daripada empat beradik yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional dalam jurusan seni bina.
Difahamkan pada November ini, Allahyarham bakal menamatkan pengajiannya, begitu juga dengan rakannya, Aiman Faris.
Dalam pada itu, jenazah Irfan Ramadan disolatkan di Masjid Kariah Pelangai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pelangai selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya itu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pelbagai guna Perodua Alza.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang motosikal maut manakala pembonceng parah.