Bana antara berpengaruh
Kanak-kanak Syria yang buat laporan perang di Allepo termasuk dalam senarai orang paling berpengaruh di Internet
Seorang kanak-kanak Syria berusia lapan tahun yang menarik perhatian dunia dengan laporan kemaskininya menerusi Twitter dari bandar Aleppo semalam dinamakan sebagai antara orang paling berpengaruh di Internet oleh majalah Time.
Senarai itu juga termasuk pengarang Britain, JK Rowling, penyanyi pop, Rihanna, selebriti, Kim Kardashian dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Time membuat pilihan tahunannya itu berdasarkan mereka yang mempunyai pengaruh global di media sosial dan yang menjana tajuk akhbar.
Dibantu oleh ibunya Fatemah yang menguruskan akaun Twitter dengan nama @AlabedBana,
Bana Alabed memuatnaik gambar dan video mengenai kehidupan di celah peperangan di Syria, menarik 365,000 pengikut di laman sosial itu sejak September lalu.
“Saya tidak boleh keluar kerana pengeboman yang
berlaku tolong henti mengebom kami,” tulis Bana ketika dia pertama kali menyertai Twitter pada 24 September 2016.
“Aleppo ialah bandar yang bagus, tetapi kami perlukan keamanan. Saya mahu hidup seperti kanak-kanak lain. Tetapi keadaan saya kini tertekan,” tulisnya lagi.
Disember lalu, Bana yang berusia tujuh tahun ketika itu, dipindahkan bersama keluarganya ke Turki dari kawasan yang dikuasai kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad.
Mereka disambut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di kediamannya.