Harian Metro

3 KORBAN JALAN GELAP

 Ustazah bersama dua anak saudara maut kereta terhumban ke dalam parit

- Farah Suhaidah Othman am@hmetro.com.my

Seorang guru wanita sebuah sekolah agama di Slim River serta dua anak saudaranya, bayi berusia tujuh bulan serta kanak-kanak berumur dua tahun meninggal dunia selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 7, Jalan Maharajale­la di sini, jam 2.30 pagi kelmarin.

Zahidah Abdul Wafir, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala adik-beradik, Uwais Al Qarni Mohamad Salleh yang berusia tujuh bulan dan Asma Basyirah Mohamad Salleh meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI), pada hari sama.

Zahidah menaiki Perodua Myvi bersama ibu bapa kanak-kanak berkenaan serta seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang turut cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Superinten­dan Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, Perodua Myvi itu dipandu seorang wanita berusia 28 tahun dan dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Hutan Melintang.

“Sebaik tiba di lokasi, Perodua Myvi itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu terhumban ke parit. Akibatnya, Zahidah meninggal dunia di lokasi manakala dua beradik berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTI.

“Dua beradik berkenaan disahkan meninggal dunia jam 10.36 pagi pada hari sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yahaya berkata, hasil bedah siasat dijalankan HTI mendapati Zahidah meninggal dunia akibat lemas.

“Bedah siasat terhadap dua beradik itu mendapati kedua-duanya meninggal dunia akibat parah di badan. Siasatan awal di lokasi mendapati jalan berkenaan adalah jalan lurus dua lorong dan tiada lampu jalan.

“Ada kesan tayar pada bahu jalan di sebelah kiri dipercayai kesan terbabas. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, jenazah dua beradik itu disembahya­ngkan di Surau Abdul Jali, Simpang 4, Rungkup, Bagan Datuk sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Kampung Simpang 4, Rungkup, Selekoh Bagan Datuk, petang kelmarin.

 ??  ??
 ??  ?? KEADAAN kereta yang dinaiki Zahidah bersama dua anak saudaranya yang terbabit dalam nahas di Kilometer 7, Jalan Maharajale­la.
KEADAAN kereta yang dinaiki Zahidah bersama dua anak saudaranya yang terbabit dalam nahas di Kilometer 7, Jalan Maharajale­la.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia