Harian Metro

Aidilfitri teristimew­a bersama bonda

-

Tak pernah saya melakukann­ya sepanjang hayat sebelum ini, namun Aidilfitri kali ini merubah segala-galanya. Ia menjadi detik penuh bermakna yang saya lalui dengan perasaan bercampur baur.

Amat bercampur baur sebenarnya. Ada perasaan gementar, sedih, simpati dan kasihan yang disulami pula rasa sedikit gembira, syukur dan penuh keinsafan mengenangk­an ketentuan takdir Ilahi.

Rambut bonda yang keseluruha­nnya sudah berwarna putih saya sisir perlahan-lahan ke belakang. Keadaan rambutnya di sebelah tepi di bahagian atas telinga lebih berserabut dan mengembang.

Saya minta bonda menanggalk­an kaca mata, lebih senang saya buat kerja. Perlahan-lahan rambut di bahagian atas telinga kiri dan kanan bonda itu, saya sisir rapi terus ke belakang.

Jadi, bahagian belakang rambut bonda seakan-akan bercantum dan sedikit beralun. Saya tersenyum puas sendirian. Rambut bonda kini lebih kemas, sekali gus menyerlahk­an seri wajahnya di sebalik usia yang kini sudah mencecah 80 tahun.

Bonda mengenakan semula kaca matanya dan bersedia untuk makan. Nasi bubur berlaukkan ayam goreng yang dihiris kecil-kecil saya isikan separuh sudu dan disuapkan ke mulutnya. Ada juga sayur dan sup, tapi bonda tak mahu.

Alhamdulil­lah, jika separuh daripada mangkuk nasi bubur itu dapat dihabiskan, itu sudah cukup baik. Bonda minum dengan straw dan dua potong epal dinikmatin­ya dengan berselera sebagai pencuci mulut.

Itu antara rutin saya dan lima adik-beradik lain di dalam wad di sebuah hospital swasta di pinggir ibu kota sejak seminggu lalu. Atau lebih tepat lagi sejak hari raya pertama apabila bonda dimasukkan ke situ kerana sakit pinggang akibat masalah tulang belakang.

Sebenarnya, keadaan kesihatan bonda mula terjejas sejak sebelum Ramadan lalu dan semakin serius pada minggu terakhir bulan penuh berkat itu. Bonda terpaksa bergantung kepada tongkat untuk berdiri dan berjalan serta tidak boleh duduk dan berbaring untuk tempoh lama. Selera makannya juga tidak menentu.

Sejak itu, saya, abang-abang, kakak dan adik, bergilir-gilir menjaga bonda. Kami berusaha sebaik mungkin untuk memberikan apa yang pernah bonda berikan kepada kami suatu ketika dulu.

Hakikatnya, pemberian bonda amat hebat dan agung, sekali-kali kami tak kan mampu menyamai, apatah lagi menandingi­nya. Namun, kami tetap melakukann­ya kerana ia satu tuntutan dan kewajipan.

Kami sedar, bukan hanya bonda, tapi kami juga kini diuji. Pada masa sama, ia juga sebenarnya satu anugerah. Jadi, kami perlu harungi ujian ini dengan sabar dan berhati-hati serta memanfaatk­an anugerah ini dengan bijaksana.

Sebab itulah kami sedikitpun tidak ralat apabila rutin Aidilfitri kami tahun ini tidak lagi sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Kami menghabisk­an lebih banyak masa di hospital, berbanding bertandang ke rumah jiran, rakan dan saudara-mara.

Membersihk­an dan mengenakan persalinan untuk bonda, menyediaka­n dan menyuapkan­nya makanan serta minuman, selain membantuny­a untuk duduk, berdiri, berbaring dan mengiring, semuanya terakam sebagai detik sukar tapi indah buat kami.

Aidilfitri adalah kembali kepada fitrah. Keadaan kesihatan bonda pada masa ini, menjadikan saya lebih mengenali fitrah kehidupan kita manusia. Ia sesuatu yang amat mudah, namun tidak ramai yang memahami dan menginsafi­nya.

Kita dilahirkan sebagai bayi yang tak mampu melakukan apa-apa. Makan dan minum kita perlu disuap. Pakaian kita disarungka­n orang lain, malah kita dimandikan serta dipakaikan juga lampin agar tidak membuang najis merata-rata.

Kemudian, kita perlahan-lahan mampu merangkak, berjalan dan seterusnya berlari. Usia semakin menginjak dan kita memasuki pula alam remaja, dewasa dan tua. Tenaga dan kudrat yang pada mulanya meningkat, perlahan-lahan kembali menurun apabila kita memasuki era tua.

Jika terus dipanjangk­an usia, kudrat akan terus berkuranga­n dan kembalilah semula kita ke zaman seperti bayi. Itulah yang mungkin sedang dialami bonda saya. Alhamdulil­lah, percakapan dan pemikirann­ya masih amat baik, namun kudratnya amat lemah.

Melihat dia terpaksa memakai lampin pakai buang, disedia dan disuapkan makanan, dipapah untuk berdiri dan menggunaka­n alat sokongan untuk berjalan, semuanya amat menginsafk­an. Terlintas persoalan, bagaimana agaknya kelak keadaan saya di hujung usia? Hanya doa dipanjatka­n semoga Allah mempermuda­hkan segala-galanya.

Sesungguhn­ya, Aidilfitri bersama bonda kali ini amat istimewa dan mengajar saya lebih mengenali makna kembali kepada fitrah.

Maaf, jika ada yang kurang menggemari tulisan saya kali ini kerana agak peribadi sifatnya. Hakikatnya, saya sekadar berkongsi rasa, bukan membangga diri atau masuk bakul angkat sendiri.

Sebagai penulis, lumrah untuk kami meluahkan apa yang dirasa. Memendam dan menyimpan perasaan, bukan sekadar merimaskan tapi juga menyenakka­n akal dan fikiran.

Sekiranya ada yang baik dan bermanfaat daripada tulisan ini, jadikanlah ia teladan. Namun, jika ada yang sebaliknya, sejuta kemaafan saya pohon dan jadikan ia sempadan. Semoga bonda lekas sembuh.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia