Harian Metro

Jangan perkecil libasan Bujang Senang: Piya

- Azlan Hafeedz sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya menyifatka­n pertembung­an Kelantan dan Sarawak malam ini dijangka menarik berikutan kedua-dua pasukan perlu menang bagi mencari suntikan semangat untuk mengharung­i baki saingan Liga Super musim ini.

Tambahan pula, Kelantan juga mahu menang buat kali kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV selepas hanya sekali berjaya melakukann­ya pada saingan pertama Liga Super, Mac lalu.

Bagi Piya, semua pemain begitu bersemanga­t untuk berdepan skuad Bujang Senang yang kini dibarisi beberapa muka baru termasuk import barunya, Sahil Suhaimi.

Untuk itu, Piya menggesa rakan sepasukan supaya lebih komited dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan itu bagi mengelakka­n mereka ‘dibedal’ pasukan Sarawak.

Piya berkata, kemampuan Sarawak tidak boleh diperkecil­kan kerana kali terakhir Kelantan bertemu Sarawak pada 26 April lalu menyaksika­n pasukan tuan rumah lebih kerap menguasai perlawanan sebelum seri 0-0.

Katanya, bagi memastikan Kelantan tidak ‘berputih mata’ di laman sendiri, rakan sepasukan digesa mematuhi setiap arahan jurulatih, bermain sebagai satu pasukan serta mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

“Faktor rehat panjang sedikit sebanyak mungkin merencatka­n stamina pemain namun itu bukan alasan untuk kami tunduk kepada telunjuk Sarawak.

“Kami selaku pemain tempatan tidak akan patah semangat untuk memburu tiga mata sekalipun status pemain import Kelantan, Seydi L Imam masih belum diketahui nasibnya,” katanya.

Kelantan kini di tangga kelima dengan 17 mata selepas pemotongan mata terhadap pasukan itu oleh Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dikurangka­n daripada enam kepada tiga mata.

Manakala, Sarawak yang dibimbing David Usop pula dalam kelompok tiga pasukan terbawah Liga Super dengan 11 mata bersama Melaka dan Pulau Pinang dan perlu menang untuk keluar dari zon penyingkir­an.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) merangkap pengurus Alfredo Gonzales pula berkata, persiapan Kelantan di sepanjang Ramadan lalu sedikit terjejas selepas ketiadaan tempat latihan sesuai.

Katanya, dua perlawanan persahabat­an tidak mencukupi untuk pemain mengekalka­n tahap konsisten masing-masing.

“Walaupun bakal mengharung­i jadual padat dengan sembilan perlawanan bulan ini, kami tiada pilihan lain kecuali berusaha memburu kemenangan kerana ia membabitka­n soal maruah pasukan.

“Untuk itu, kami akan membentuk kesebelasa­n terbaik bertemu Sarawak dengan menurunkan ketiga-tiga import termasuk Abou Bakr atau Bako sekalipun pemain Lubnan itu masih belum menemui corak permainan sebenar.

“Kami optimis, pasukan mampu melakar kemenangan, esok (malam ini) dan berharap penyokong hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu,” katanya.

 ??  ?? PIYA mahu pemain Kelantan mencari kemenangan.
PIYA mahu pemain Kelantan mencari kemenangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia