UBAH RUPA SEMULA JADI
Apakah pandangan ustaz mengenai pengubahan ciptaan Allah SWT secara semula jadi? Contohnya, menerusi senaman tertentu dan pengambilan makanan membuatkan bentuk tubuh berubah seperti otot bertambah besar dan ketinggian meningkat.
NORMAN,
Selayang
Larangan mengubah ciptaan Allah SWT jelas dalam al-Quran dan hadis. Firman Allah
SWT bermaksud; “Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benarbenar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya.
“Sesiapa yang menganggapkan syaitan pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (Surah An-Nisa: 119)
Ada perkara tertentu yang dilarang kerana dianggap mengubah ciptaan Allah SWT sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya bermaksud:
“Allah SWT melaknat wanita yang membuat tatu, meminta ditatu, mencabut alis dan memperbaiki susunan giginya untuk mempercantikkan diri, yang mengubah ciptaan Allah.” (HR Al-Bukhari, Muslim dan lainnya).
Bagi yang membina otot dan ketinggian, sekiranya mempunyai niat yang baik, maka pada asal tidak dilarang apatah lagi melalui senaman yang menyihatkan.
Tubuh yang sihat sangat digalakkan dalam Islam bagi mempertahankan Islam tetapi sekiranya bertujuan menunjuk-nunjuk, mendedahkan aurat dan niat tidak baik, maka ia dilarang dalam Islam. Wallahualam.