Harian Metro

JIN WEI MARA FINAL

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

 Pilihan ketiga kejohanan itu miliki ramuan untuk muncul juara

Peluang Goh Jin Wei untuk menjulang kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas buat kali pertama semakin terbuka apabila dia berjaya melangkah ke pentas final Terbuka Taiwan.

Pemain perseorang­an utama wanita negara itu yang juga pilihan ketiga kejohanan, nyata berada pada prestasi terbaik selepas membenam cabaran wakil Jepun Haruko Suzuki 21-16, 21-17

(gambar)

pada aksi separuh akhir semalam.

Ini adalah final kedua untuk Jin Wei pada saingan bertaraf GP Emas selepas kali pertama mara ke pentas final di Indonesia Masters tahun lalu sebelum tewas kepada pemain tuan rumah Busanan Ongbamrung­phan.

Pada aksi final hari ini, bintang berusia 17 tahun itu akan bertemu seorang lagi wakil Jepun Saena Kawakami.

Menurut jurulatih perseorang­an wanita Sairul Amar Ayob, Jin Wei mempamer aksi lebih matang dengan banyak bersabar serta tidak terlalu terburu-buru untuk meraih mata.

“Tapi banyak lagi sebenarnya perlu diperbaiki oleh Jin Wei, antaranya tahap kecergasan, kekuatan mental serta sikapnya ketika beraksi.

“Jin Wei juga perlu menunjukka­n kemahuan yang lebih tinggi ketika menjalani latihan serta bermain pada perlawanan sebenar.

“Untuk esok (hari ini), kami akan melihat aksi lawannya dulu. Tapi secara asasnya pemain Jepun sangat aktif berlari sekeliling gelanggang dan Jin Wei perlu lebih banyak bersabar,” katanya.

Hanya Jin Wei satu-satunya wakil tunggal negara beraksi pada pentas final hari ini selepas dua lagi wakil negara terkandas di separuh akhir semalam.

Beregu lelaki negara Chooi Kah Ming-Low Juan Shen mempamer semangat juang tinggi sebelum tewas kepada pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin 14-21, 21-19, 21-13.

Sementara itu, pemain perseorang­an lelaki negara Lee Zii Jia turut mempamer aksi terpuji sebelum tewas kepada pilihan pertama Chou Tien Chen 21-15, 10-21, 12-21.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia