Kekalkan roh Ramadan
Umat Islam digalak teruskan amalan pada 11 bulan berikutnya
Sudah seminggu kita berada dalam bulan Syawal. Suasana hari raya masih meriah di mana-mana dan semua orang masih dalam semangat berhari raya.
Sambutan Aidilfitri biasanya diisi dengan melakukan amalan seperti menziarahi saudara dan sahabat, mengadakan majlis rumah terbuka dan bermaaf-maafan.
Namun, dalam berhari raya jangan pula meninggalkan tarbiah Ramadan dalam kehidupan seharian. Ramadan yang disambut sebelum ini adalah madrasah sebenar dalam mendidik jiwa Muslim menjadi hamba yang bertakwa.
Bagi mereka yang berjaya menjalani proses tarbiah selama sebulan sepanjang Ramadan, pastinya kesan tarbiah itu terus dimanfaatkan dalam pertuturan dan perbuatan untuk 11 bulan selepas Ramadan.
Salaf as-soleh berdoa kepada Allah SWT selepas berakhirnya Ramadan agar amalan mereka sepanjang bulan diterima-Nya.
Mereka terus mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti kebiasaan dilakukan sepanjang Ramadan. Malah, mereka berdoa supaya dipertemukan lagi pada Ramadan akan datang.
Bagi meneruskan kesinambungan tarbiah Ramadan, kita dianjurkan untuk menunaikan ibadat puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Galakan menunaikan enam hari puasa sunat pada bulan Syawal ini amat istimewa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga amalan menghidupkan malam dengan ibadat seperti yang menjadi rutin sepanjang Ramadan. Ia perlu diteruskan supaya tarbiah Ramadan tidak sia-sia.
Walaupun tiada solat sunat Tarawih namun kita boleh melakukan solat sunat pada waktu malam pada bulan-bulan berikutnya.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (dengan apa keadaan pun, maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang malam), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.” (Surah al-Insan, ayat 26)
Selain itu, pada bulan Ramadan lalu, kita sentiasa mencari masa untuk membaca al-Quran dan berniat untuk khatam sepanjang bulan Ramadan.
Tidak hanya membaca al-Quran secara sendirian, kita turut bertadarus al-Quran bersama orang lain dengan tujuan bacaan
Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”
betul dan sekiranya tersalah, orang lain yang mendengarnya akan memperbetulkannya.
Bagaimana pula dengan al-Quran selepas berakhirnya Ramadan? Adakah kita masih berusaha mencari waktu untuk membaca al-Quran?
Ayat al-Quran dapat mengingatkan hati kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah al-Anfal, ayat 2)
Pada bulan Ramadan juga orang berlumba-lumba bersedekah kepada anak yatim, golongan fakir dan seumpamanya.
Tidak putus-putus sumbangan diterima daripada pelbagai pihak kerana masing-masing menginginkan ganjaran besar daripada amalan sedekah.
Hakikatnya, golongan memerlukan itu masih perlu dibantu selepas berakhirnya bulan Ramadan untuk meneruskan kehidupan harian.
Tergamakkah kita membiarkan golongan sebegini hanya mampu melihat kegembiraan orang berharta menyambut hari lebaran?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanyalah menyayangi hamba-Nya yang penyayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ramadan umpama madrasah yang fungsinya melatih umat Islam beribadat sepanjang bulan serta meneruskan amal pada bulan-bulan berikutnya.
Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Hadis riwayat Muslim