Sakit kepala simptom bukan penyebab
Lelaki mempunyai kebarangkalian lebih didiagnos ketumbuhan otak
berbanding wanita
DARI MUKA 15
Sebaliknya ketumbuhan otak primer malignan pula membabitkan proses pertumbuhan yang pantas dan boleh menyerang tisu berhampiran.
Ketumbuhan ini jarang sekali merebak ke tisu luar daripada otak dan berpeluang untuk berulang kembali selepas pembedahan pembuangan sepenuhnya dilakukan.
Kedua-dua jenis ketumbuhan di atas boleh membesar dan menyebabkan tekanan ke atas struktur lain seperti mata yang boleh mengakibatkan kebutaan.
Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kekerapan terjadinya ketumbuhan otak primer amat rendah. Lebih rendah lagi ketumbuhan otak malignan dalam lingkungan dua peratus daripada keseluruhan kanser dalam kalangan orang dewasa.
Di United Kingdom, keseluruhan insiden tahunan untuk semua ketumbuhan otak adalah pada kadar tujuh bagi 100,000 penduduk. Di Amerika Syarikat, insiden bagi semua ketumbuhan otak adalah 46 bagi 100,000 penduduk setiap tahun dan hanya 15 bagi 100,000 daripada mereka adalah ketumbuhan otak primer.
Golongan lelaki mempunyai kebarangkalian yang lebih untuk didiagnos dengan ketumbuhan otak berbanding wanita (nisbah 1.5:1)
SAKIT KEPALA, TUMOR OTAK
Menurut Pakar Bedah Saraf Hospital Beacon Dr Chee Chee Pin, sakit kepala adalah gejala atau simptom dan bukan penyebab kepada kanser otak, namun jangan ambil mudah kehadirannya.
“Ada beberapa sebab sakit kepala boleh terjadi. Sebab biasa sakit kepala adalah migrain, ketegangan, vaskular atau sakit kepala berkelompok, kesan serius tumor otak, darah beku, pendarahan subaraknoid daripada aneurisme serta jangkitan seperti meningitis dan otak bernanah.
“Akibat mengambil ringan sakit kepala, ia mungkin menyebabkan kesan yang lebih serius seperti rasa mengantuk, lumpuh, sawan, koma dan mengancam nyawa,” katanya.
Selain itu, terdapat simptom tambahan lain yang boleh menjadi sebab kepada sakit kepala yang serius dan memberi isyarat kepada penyakit tertentu. Antaranya:
- Muntah, kabur penglihatan bersama-sama dengan menunjukkan peningkatan tekanan intrakranium (tekanan di kepala).
- Kelemahan, kebas kaki dan badan.