3 PUSAT BELAJAR AGAMA TERBAKAR
Pelajar bertempiaran lari apabila 18 rumah kayu didiami musnah terbakar
PONDOK PAK TEH KUAK LUAR
RUMAH ANAK YATIM TASAWWUR ISLAM
SEKOLAH MENENGAH MAAHAD AL ISLAH
“Saya ingatkan bunyi mercun dan tidak menghiraukannya sebelum terkejut melihat cahaya terang di satu pondok dan terdengar jeritan ‘api’ oleh beberapa pelajar.
“Saya berlari ke arah pondok itu bersama rakan dan melaungkan azan apabila ternampak api semakin marak dan bimbang ada rakan terperangkap.”
Demikian kata pelajar agama Muhamad Qudratul Fikri Rohamidi, 18, menceritakan mengenai kebakaran 18 pondok dijadikan rumah pelajar di Pondok Pak Teh Kuak Luar, di sini.
Kejadian 11.20 malam kelmarin itu menyebabkan semua pondok berstruktur kayu itu musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Muhamad Qudratul Fikri berkata, beberapa rakan turut menyimbah air bagi memadam api namun gagal kerana api terlalu marak.
“Kami berjaya membawa keluar tong gas daripada beberapa pondok namun ada tong gas yang meletup menyebabkan api makin merebak,” katanya ditemui di lokasi semalam.
Rakannya, Razlan Abdul Razak, 19, berkata, dia belajar di situ sejak dua tahun lalu dan kebakaran itu mengejutkan mereka yang sedang menelaah kitab.
“Saya sedang menelaah kitab bersama rakan-rakan di sebuah rumah pondok lain dan terkejut bunyi letupan kuat itu.
“Saya keluar dari rumah pondok dan melihat api sedang marak dan bertempik memanggil rakan lain untuk membantu, tetapi tidak terdaya kerana api menyambar dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, Jabatan
Bomba dan Penyelamat (JBP) Pengkalan Hulu menerima panggilan jam 11.27 malam dan sampai di lokasi enam minit kemudian.
Beliau berkata, seramai 20 anggota daripada Balai
Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dan Baling membantu memadam kebakaran daripada merebak ke pondok lain.
Katanya, api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 pagi.
“Kita memadam api daripada merebak dengan dua pili bomba yang dipasang di kawasan pondok dengan dua jentera pemancut.
“Kebakaran tidak membabitkan kemalangan kerana kebanyakan pelajar masih bercuti raya,” katanya.
Yahaya berkata, keseluruhan rumah pondok diperbuat dengan kayu kerana pelajar di situ mengamalkan sistem pengajian tradisional dan memasak bersendirian selain menggunakan lilin kerana tidak dilengkapi kemudahan elektrik.
“Rumah awal yang terbakar tidak berpenghuni kerana mereka masih bercuti dan punca kebakaran sedang dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, pondok di situ dibina 50 tahun lalu dan dijadikan pusat ilmu pengajian secara pondok.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemilik tanah untuk kerja pembinaan semula dan akan membersihkan persekitaran kebakaran.