Harian Metro

‘Danny nak ambil gambar dengan Qu Putih’

-

Alor Gajah: “Danny teringin nak jumpa Qu Putih, Danny nak ambil gambar dengan Qu Putih,” luah kanak-kanak penghidap leukemia tahap empat, Muhammad Daniel Qaizer Helmi, 3, yang mahu bertemu pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.

Anak sulung dua beradik yang manja dengan panggilan Danny itu disahkan menghidap leukemia, September tahun lalu selepas menjalani ujian darah di Hospital Melaka.

Ibunya Mas Edayu Haron, 27, berkata, dia dan suami Helmi Harrun, 30, membawa Danny menjalani pemeriksaa­n selepas kanak-kanak itu kerap demam dan kesihatann­ya merosot ketika berusia dua tahun lapan bulan.

Katanya, perkhabara­n itu dianggap dugaan besar kerana diterima ketika dia menunggu hari untuk melahirkan anak kedua Muhammad Anaqi Mikael yang kini berusia 10 bulan.

“Kerana terlalu kerap demam doktor mengambil sampel darah Danny, hasil pemeriksaa­n awal mendapati keadaan darah tidak stabil mengakibat­kan kulitnya sakit.

“Disebabkan mahu pengesahan saya dan suami merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

“Namun keputusann­ya sama, jadi kami terima ketentuan ini,” katanya di kediamanny­a di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan selepas disahkan menghidap leukemia Danny menjalani pemeriksaa­n susulan dengan sembilan kali diambil sampel air tulang belakang dan sumsum tulang.

“Sekarang, saya dan suami berusaha memenuhi apa saja hasratnya termasuk berjumpa Datuk Seri. Danny kerap sebut nama dan terhibur setiap kali melihat aksi Datuk Seri.

“Lebih membimbang­kan, sehari sebelum Aidilfitri kedua-dua tangan Danny menjadi lemah manakala sejak Jumaat lalu dia tidak boleh bangun sendiri selain mengadu sakit kaki,” katanya.

Kata Mas Edayu, usaha itu bukan mahu meraih wang atau simpati masyarakat kerana dia difahamkan setakat ini belum ada penawar untuk merawat leukemia.

“Kami cuma mahu Danny gembira, sekarang kami perlu bawa dia ke hospital setiap minggu untuk memasukkan darah.

“Walaupun pada tahap empat saya dan suami tak putus asa, kami bawa Danny berubat secara tradisiona­l ke seluruh Semenanjun­g Malaysia. Dianggarka­n lebih RM10,000 wang simpanan digunakan untuk tampung kos rawatannya,” katanya.

Wanita itu berkata, dia hanya mampu berdoa supaya Danny terus sihat meskipun kemungkina­n pulih mustahil.

Sementara itu Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida, ketika dihubungi mengakui terharu dan bersedia meluangkan masa berjumpa Muhammad Daniel Qaizer pada bila-bila masa.

Dr Vida berkata, beliau mungkin sukar ke rumah kanak-kanak itu disebabkan kekangan masa serta sibuk dengan perniagaan­nya.

Namun, Dr Vida bersetuju bertemu kanak-kanak itu di Kuala Lumpur dan mencari masa sesuai sekiranya dia berada di ibu kota.

“Saya sudi bertemu dengan siapa saja dan saya terharu apabila adik berkenaan mahu bertemu saya.

“Tetapi sekiranya mereka berada di Kuala Lumpur, saya akan cari masa yang sesuai demi menunaikan hasratnya untuk bergambar,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia