‘Usah diam dibuli pelajar’
Guru diminta buat laporan elemen gengsterisme di sekolah
Guru yang menjadi mangsa buli pelajar diminta melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Pendidikan dan tidak menyembunyikannya supaya tindakan susulan boleh diambil.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam kebanyakan kes guru mangsa buli ini hanya berdiam diri kerana berkemungkinan bimbang dengan keselamatan diri.
Menurutnya, guru seharusnya berani untuk melaporkan perkara itu kepada pihak kementerian termasuk jika ada elemen gengsterisme supaya tindakan dapat diambil.
“Bukan saja guru yang menjadi mangsa, malah kakitangan sekolah dan pengawal keselamatan turut dibuli.
“Jadi, maklumat berkaitan kes buli ini perlu jelas dan jangan sembunyikannya, malah jika terbukti pelajar terbabit menjadi pembuli maka kita akan mengambil tindakan,” katanya selepas melawat Kolej Vokasional Alor Setar, di sini, semalam.
Mahdzir berkata, pelajar yang dikenal pasti menjadi pembuli ini akan dimaklumkan kepada ibu bapa mereka sebelum dihukum gantung sekolah.
“Dalam tempoh tidak bersekolah itu terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke mana-mana pusat pemulihan di mana kementerian sedia membantu.
“Pelajar ini boleh dibawa ke sesi kaunseling di penjara, melihat proses hukuman pelajar di Sekolah Henry Gurney, pusat juvana atau apa-apa aktiviti yang menjurus kepada kesedaran dalam diri,” katanya.
Mengenai lawatan itu, beliau berkata, kolej berkenaan menawarkan kursus peringkat sijil serta diploma dan ada 900 pelajar belajar kemahiran di situ.
“Mereka ini mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing dan apabila tamat pengajian nanti mudah mendapat pekerjaan,” katanya.