Tiada lagi pendengar setia takbir raya
Segamat: “Nur Aafiyah begitu gembira setiap kali mendengar takbir raya, tetapi kini kami terpaksa reda dengan ketiadaannya,” kata Norhisham Othman, 46, bapa kepada bayi yang menghidap empat penyakit kronik apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.
Nur Aafiyah Amanda yang bergantung hayat dengan alat pernafasan sejak dilahirkan akibat komplikasi lemah jantung, jantung berlubang, saluran usus sempit dan jangkitan paru-paru meninggal dunia pada jam 7.09 minit malam di Hospital Segamat, di sini.
Norhisham berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu mengalami kesukaran bernafas di rumahnya di Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, sejak kira-kira jam 8 pagi Jumaat lalu.
Katanya, dia dan isterinya Raja Karipah Raja Hamzah, 46, bergegas membawa Nur Aafiyah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, keadaannya (Nur Aafiyah) kritikal sebelum doktor mengesahkan anak saya menghembuskan nafas terakhirnya, malam semalam (kelmarin).
“Kami reda dengan pemergian Nur Aafiyah walaupun ketika kemeriahan Syawal masih dirasai, tetapi Allah lebih menyayanginya dan menjemputnya di bulan mulia ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Jenazah Allahyarham dikebumikan pada Tanah Wakaf Perkuburan Islam Masjid Bandar Buloh Kasap, kira-kira jam 11 pagi semalam dengan dihadiri 250 ahli keluarga dan penduduk.
Katanya, dia sempat merakam gambar Nur Aafiyah bersama baju rayanya pada pagi Aidilfitri, dan arwah kelihatan sangat gembira mendengar takbir raya.
“Sebelum ini dia hanya terbaring dan tidak banyak pergerakan, tetapi pada pagi raya dia banyak bergerak dan tersenyum terutama apabila mendengar takbir raya,” katanya.