Harian Metro

‘Ibu, ayah sedih, Aishah...’

-

Banting: “Ibu dan ayah sedih apabila teringatka­n Aishah... abang mohon Aishah pulanglah,” kata Muhammad Azlan Nasaruddin, 26, abang kepada remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarga mereka di Taman Jugra Jaya, dekat sini, malam kelmarin.

Gadis berkenaan Aishah Natasha, 15, dipercayai keluar melalui pintu belakang tanpa memaklumka­n ahli keluargany­a dan sehingga kini gagal dikesan manakala talian telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

Muhammad Azlan berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakannya sudah puas mencari adiknya, namun tiada sebarang petunjuk setakat ini.

“Kami juga sudah bertanyaka­n rakan baiknya di sekitar taman perumahan ini dan juga sekolah namun mereka pun tak tahu. Kami sekeluarga buntu dan tidak tahu bagaimana mahu menghubung­i Aishah,” katanya.

Sementara itu, bapa gadis berkenaan Nasaruddin Abdullah, 57, berkata, kali terakhir dia melihat anak keenam daripada tujuh beradik itu ketika anaknya menonton televisyen di dapur sebelum disedari hilang.

Menurutnya, ketika itu isterinya sudah tidur manakala seorang anak lelakinya berusia 20 tahun berada di ruang tamu.

“Namun ketika pulang ke rumah kira-kira jam 1 pagi tadi (semalam), saya mendapati televisyen masih terbuka, namun anak saya tiada. Saya cari dia namun tiada sebelum menyedari pintu belakang terbuka serta tidak berkunci,” katanya.

Katanya, jirannya ada memaklumka­n kehadiran teksi eksekutif jenis Toyota Innova serta Perodua Myvi putih berlegar-legar di kawasan perumahan itu pada malam kehilangan Aishah.

“Mereka nampak teksi berkenaan berhenti berdekatan rumah kami, namun tak pasti sama ada anak saya menaikinya atau sebaliknya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Banting, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superinten­dan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahka­n kejadian berkata, pihaknya sedang menjalanka­n siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis berhampira­n.

 ??  ?? AISHAH Natasha
AISHAH Natasha

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia