WANITA Maghribi JUARA MODEL MUSLIMAH
Suri rumah sepenuh masa berasal dari Maghribi, Fatiha Abouzid, 31, muncul juara Pencarian Model Muslimah Enigma 2017 pada majlis Malam Pelengkap Hati bersama Enigma Boutique (EB) di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor.
Memandangkan bukan penduduk tempatan kata Fatiha, beliau tidak yakin menang, oleh itu, apabila diumum juara, memang mengejutkannya dan dia amat menghargai kejayaan itu.
“Harapan saya supaya sedikit dikenali namun saya tidak pula ingin mengejar populariti atau glamor,” katanya yang mengutamakan prinsip wanita Muslimah dalam pergaulan.
Dengan kemenangan itu Fatiha automatik diangkat Duta EB 2017. Acara pencarian model Muslimah diadakan sempena pelancaran logo baru EB, seiring penjenamaan semula di samping mendedahkan imej terbaru jenama itu.
Seramai lapan peserta disenarai pendek untuk bertanding di peringkat akhir. Pemenang ketiga, Masfarhana Nabilah, 18, berperwatakan mesra juga meluahkan rasa syukur dengan kemenangan tidak dijangka itu.
“Ramai lagi peserta akhir yang bagus, justeru saya berasa cukup bertuah sampai ke tahap ini,” katanya yang menjawab soalan peringkat akhir mengenai fesyen dan idola.
Melalui peluang yang diberi itu katanya, dia bercadang menyertai kerjaya peragaan, di samping bercita-cita menjadi usahawan wanita berjaya.
Majlis Malam Pelengkap Hati Bersama EB dirasmikan isteri mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah.
Majlis juga turut dimeriahkan persembahan Ayu Damit selaku Duta EB yang mendendangkan single terbaru Pelengkap Hati liriknya ditulis pengarah EB sendiri.
Turut ditayangkan filem pendek berjudul Pelengkap Hati mendedahkan impian dan harapan EB yang direalisasikan oleh CST Production. Ungkapan ini dipilih sebagai tema bagi majlis ini kerana kesinambungan kepada slogan EB, Cantik ke
Syurga.
Sebagai jenama busana Muslimah tempatan, EB menawarkan gaun bermutu tinggi dan bergaya, menutup aurat, sesuai tema. Logo baru menonjolkan huruf ‘EB’ singkatan daripada Enigma Boutique, dipilih berdasarkan konsep elegan dan prestij. Orang ramai boleh berkunjung ke EB yang terletak di M3 Mall, Taman Melati di Gombak Setia untuk melihat koleksi pakaiannya.