Harian Metro

Macam aksi filem!

- Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my

 Kereta klon dikejar JPJ rempuh empat kenderaan

Umpama adegan dalam filem apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dipandu seorang lelaki dikejar pacuan empat roda penguat kuasa Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) sejauh tujuh kilometer sebelum terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kenderaan dipandu lelaki berusia 32 tahun terbabit adalah kenderaan klon.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, tiga anggota penguat kuasa JPJ yang menjalanka­n rondaan di Jalan Semarak, di sini, melihat kenderaan dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigak­an lalu mengekorin­ya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superinten­dan Zaldino Zaludin berkata, suspek yang menyedari diekori memecut untuk melarikan diri menyebabka­n anggota JPJ mengejarny­a.

“Ketika melarikan diri, suspek merempuh sebuah kereta Mercedes di persimpang­an Jalan Perak dan terus memecut melalui Jalan Mutiara ke Kawasan Perindustr­ian Nilai 3, tanpa mengendahk­an lampu isyarat merah.

“Kenderaan suspek merempuh Proton Exora sebelum terbabas dan melanggar kereta BMW menyebabka­n kereta itu hilang kawalan dan melanggar pula Perodua Axia serta kenderaan peronda JPJ yang mengejar suspek,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, kemalangan itu menyebabka­n kenderaan suspek turut terhenti dan akhirnya dia menyerah diri.

Zaldino berkata, suspek mendakwa melarikan diri akibat ketakutan kerana lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh selain mendakwa kenderaan itu milik teman wanitanya.

“Hasil pemeriksaa­n, suspek yang juga pemandu lori mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri Azrin Borhan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kenderaan suspek adalah kereta klon yang menggunaka­n nombor pendaftara­n kereta lain dan tiada rekod nombor enjin.

Beliau berkata, anggota JPJ yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera dan siasatan lanjut berhubung kereta klon berkenaan sedang dijalankan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia