Harian Metro

Bebas H5N1

- Mohd Husni Mohd Noor mhusni@hmetro.com.my

 JPV umum ternakan Malaysia selamat

Selepas 90 hari tanpa penyakit baru dikesan, Malaysia akhirnya diumumkan bebas penyakit selesema burung atau

(HPAI) H5N1 sejak 1 Julai lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Perkhidmat­an Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam selepas mendapati tiada jangkitan baru dikesan selepas langkah pembasmian kuman yang terakhir dibuat pada 1 April lalu.

Menurutnya, tempoh 90 hari itu adalah syarat yang diletakkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dalam menangani penyakit haiwan seumpama itu.

“Kami sudah menghantar laporan penuh kepada OIE mengenai situasi dan langkah-langkah yang diambil bagi membolehka­n pihak OIE menyenarai­kan Malaysia secara rasmi sebagai salah satu negara bebas penyakit H5N1.

“Dengan status Malaysia sebagai negara bebas penyakit selesema burung ini, dijangka negara-negara pengimport seperti Jepun, Indonesia, Sri Lanka dan China akan membuka sekatan eksport sementara yang dikenakan sebelum ini dan membenarka­n semula kemasukan ayam, itik dan sarang burung walit dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kes H5N1 mula dikesan pada 28 Februari lalu di Kampung Pulau Tebu, Mukim Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, tindakan dan langkah sewajarnya sudah diambil bagi menghadkan penyakit itu di 36 lokasi di enam jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu (15 lokasi),Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Tanah Merah (satu), Bachok (enam) dan Pasir Puteh (tiga).

Menurutnya, jumlah pelupusan di dalam kawasan jangkitan adalah 56,953 ekor ternakan unggas dan 17,531 biji telur yang dilaksanak­an di dalam masa 24 hari.

“Kali terakhir kejadian HPAI H5N1 dikesan di negara ini adalah pada 2007,” katanya.

Katanya, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (DVS) berjaya membendung penyakit berkenaan menerusi pemusnahan unggas di dalam kawasan satu kilometer (km) radius dari lokasi jangkitan bagi mengelakka­n risiko penularan penyakit kepada unggas lain dan manusia serta membasmi kuman selepas selesai pemusnahan dijalankan di premis-premis yang menyimpan unggas bagi memusnahka­n virus berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia