Harian Metro

Tembakan tunggu duit

- Mohd Hasbi Sidek mohd.hasbi@hmetro.com.my

 Lelaki maut ketika dibawa ke HKL

Ditembak mati ketika menunggu untuk mengambil wang.

Itu nasib dialami seorang lelaki yang mati ketika berada di dalam keretanya di Jalan Segambut Bahagia, Jinjang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa yang berusia 25 tahun menaiki sebuah kereta jenis Honda bersama rakan ke lokasi itu sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali yang melepaskan satu das tembakan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibawa ke hospital itu oleh rakannya.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan berjumpa rakannya di sebuah restoran di Taman Sri Sinar sebelum mengajak lelaki berusia 26 tahun itu untuk mengambil wang daripada seorang individu di lokasi kejadian.

“Mereka menaiki kereta ke lokasi sebelum berhenti di tepi jalan. Mangsa duduk di sebelah rakannnya yang memandu kereta itu,” katanya pada sidang media Program Pencegahan Jenayah Walkabout di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, semalam.

Mazlan berkata, mangsa dikatakan membuka tingkap kenderaan sambil merokok.

“Bagaimanap­un, dua lelaki tidak dikenali dipercayai menunggang motosikal muncul sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.

“Rakan mangsa yang terkejut kemudian memecut kenderaan itu sebelum membawa mangsa ke HKL selepas menyedari kecederaan dialami pada bahu kiri mangsa akibat ditembak.

“Bagaimanap­un, mangsa disahkan mati di HKL kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang disoal siasat polis mendakwa tidak mengetahui berhubung wang yang mahu diambil mangsa selain tidak sempat mengecam kenderaan digunakan suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia