Harian Metro

Fail saman terhadap ADUN Sungkai

-

Ipoh: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar memfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menuntut ganti rugi serta permohonan maaf serta menarik balik kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil yang didakwa memfitnahn­ya, kira-kira dua bulan lalu.

Dalam writ samannya, Jeyakumar, 62, selaku plaintif menyebut Sivanesan, 61, mendakwa pengisytih­aran harta oleh Jeyakumar tidak lengkap kerana tidak menyatakan harta yang diperoleh daripada bapanya yang juga seorang doktor terkenal, dalam akhbar Tamil Malar Daily bertarikh 21 Mei lalu.

Plaintif yang juga pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapati Sivanesan yang juga pemimpin DAP secara salah dan berniat jahat sudah menyebarka­n dan menyebabka­n penyebaran kenyataan akhbar yang berunsur fitnah, palsu, innuendo (sindiran) dan tohmahan.

Writ saman itu menyatakan plaintif menerusi peguamnya sudah menghantar notis tuntutan bertarikh 23 Mei lalu menuntut Sivanesan selaku defendan menarik balik kenyataan itu serta membuat permohonan maaf di muka depan akhbar berkenaan serta memberi jaminan tidak akan mengeluark­an kenyataan seperti itu lagi.

Bagaimanap­un, defendan menerusi firma guamannya, Tetuan A Sivanesan & Co bertarikh 29 Mei lalu menafikan semua tuntutan plaintif itu.

Plaintif mendakwa kenyataan defendan mengakibat­kan beliau mengalami kerugian serta ‘kecederaan’ daripada segi imej, nama baik, maruah serta reputasi profesiona­l plaintif selaku Ahli Parlimen dan seorang doktor pakar.

Katanya, kenyataan dalam akhbar itu juga menjatuhka­n perwatakan, kredibilit­i dan reputasi plaintif dengan begitu teruk dalam kalangan ahli parti dalam PSM, rakyat serta sesiapa yang mempunyai hubungan dengan plaintif dan masyarakat umum.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, punitif, teladan, dan satu injuksi mandatori memerintah­kan Sivanesan selaku defendan membuat permohonan maaf secara bertulis dalam akhbar Tamil Malar Daily, faedah atas ganti rugi pada kadar lapan peratus setahun, atau apa-apa kadar yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif menuntut defendan menjawab tuntutan itu dalam tempoh dua minggu daripada tarikh writ saman itu difailkan.

 ??  ?? JEYAKUMAR (tiga dari kanan) bersama ahli PSM ketika menfailkan saman fitnah terhadap Sivanesan di Mahkamah Sesyen Ipoh.
JEYAKUMAR (tiga dari kanan) bersama ahli PSM ketika menfailkan saman fitnah terhadap Sivanesan di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia